GRS: Template dan konsortium politik menarik dicontohi

 GRS: Template dan konsortium politik menarik dicontohi

Oleh Mohd Kamal Ahmad

SUKAR untuk membayangkan jika suasana politik di Semenanjung sekarang turut melarat ke Sabah dan Sarawak. Bertikam lidah, menuduh itu, mendakwa ini serta pelbagai pelan dan tindakan politik dilakukan untuk menggugat kerajaan yang memerintah. Ketika kabinet semakin kukuh, wujud kuasa untuk memecahkan kerajaan gabungan BERSATU, PAS dan UMNO itu. Ketika mana ada wakil parti dalam Kabinet, namun wujud pula kelompok lain dari parti sama yang bertindak dan mendesak seperti pembangkang dari luar.

Kelmarin, Tan Sri Annuar Musa dalam catatan di Facebooknya mendakwa, ada ‘big bosses’ yang kecewa bila mereka tidak terpilih menyertai Kabinet lantas memulakan rentak berbeza walaupun ‘anak buah’ berada dalam kerajaan.

Inilah antara yang menyebabkan wujud dua aliran dalam UMNO berhubung pendirian parti itu dalam isu kerjasama dengan BERSATU dan Perikatan Nasional (PN). Yang di dalam Kabinet ‘ok’ dengan BERSATU dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, tetapi yang di luar Kabinet ‘tidak ok’ dengan BERSATU dan Muhyiddin. Bagaimana hendak mengklasifikasikan sikap, perjuangan dan kedudukan pemimpin yang begini?

Semalam, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan, seolah-olah ‘geram dan marah’ apabila meminta pemimpin serta ahli parti itu tidak perlu membuang masa berbalah sesama sendiri secara terbuka dalam media sosial. Apakah kenyataan ini turut merujuk kepada ‘pemimpin dan penyokong dua aliran dalam UMNO’ atau ‘menembak’ ke arah satu daripada dua aliran itu?

Cuba kita jenguk di Sabah. Lain bunyi dan sikap pemimpin pelbagai parti di sana. Hendak dikatakan politik mereka semakin matang, mungkin belum sepenuhnya tetapi di atas landasan ke arah itu. Ada perkembangan politik yang lebih sihat di sana. Mereka menawarkan ‘new deal’ kepada penduduk dengan semangat Sabah Maju yang dibentuk menerusi kerjasama pelbagai parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Ini umpama penggabungan yang membentuk satu konsortium politik. Langkah ini memang menepati aspirasi rakyat iaitu sebuah kerajaan yang kuat, stabil dan boleh membela mereka menerusi pelaksanaan pembangunan serta melindungi keselamatan daripada pelbagai ancaman.

Muhyiddin menyifatkan GRS ini satu jalinan politik terbaik membabitkan pelbagai parti yang dibentuk demi perjuangan untuk rakyat selepas memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah,  26 September 2020 lalu.

Jadi, di mana semangat seperti ini bagi pemimpin parti politik di Semenanjung? Bagaimana UMNO  ingin menunjukkan keupayaan sekali gus mahu dilihat ‘big brother’ dan  ‘memberi contoh melalui teladan’ kepada gagasan lebih junior, jika tidak ada semangat kerjasama dan penyatuan dengan BERSATU dan PAS dalam PN? Kenapa mendokong diri sendiri dan tidak menghayati matlamat perjuangan parti bagi menyelamat serta memartabatkan  bangsa, agama dan tanah air demi mencari keredaan Allah SWT? Ke mana tiang prinsip perjuangan politik yang dituntut oleh syarak dan bagaimana kita hendak menjawab isu perpecahan ini di hari kemudian?

Walaupun gagasan GRS masih setahun jagung, kita boleh menyatakan semangat, kerjasama dan struktur perkongsian kuasa dalam GRS adalah satu template yang kukuh untuk pembentukan satu equailibrium atau keseimbangan bagi sebuah gagasan atau konsortium politik era baharu ini. Mungkin yang boleh diperkatakan ialah GRS memerlukan ‘sedikit lagi autonomi tertentu’ untuk membuat acuan baharu dan membentuk equilibrium baharu politik di Sabah, tetapi gagasan itu kekal, stabil dan setia pada orbitnya dalam sistem cakrawala politik negara.

 


‘‘Mereka menawarkan ‘new deal’ kepada penduduk dengan semangat Sabah Maju yang dibentuk menerusi kerjasama pelbagai parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Ini umpama penggabungan yang membentuk satu konsortium politik. Langkah ini memang menepati aspirasi rakyat iaitu sebuah kerajaan yang kuat, stabil dan boleh membela mereka menerusi pelaksanaan pembangunan serta melindungi keselamatan daripada pelbagai ancaman.’’


 

Sikap adil kerajaan terhadap Sabah juga sebenarnya satu dari ciri-ciri yang melegakan sehingga pemimpin parti di sana tidak ‘buat hal’ dengan Kuala Lumpur. Kestabilan dan kerjasama dalam GRS terbukti menyakinkan Perdana Menteri, apabila beliau hanya dapat membuat lawatan ke Sabah, semalam walaupun selepas hampir enam bulan PRN berlangsun. Kestabilan politik Sabah turut disumbang menerusi jaminan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), bahawa jurang besar dalam pembangunan di Sabah akan dirapatkan lagi. Ini selaras dengan matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 untuk menyediakan taraf hidup yang wajar kepada rakyat Malaysia.

Perjalanan GRS masih jauh menerusi landasan baharu kerjasama dan kepercayaan Pusat ini. Mengurangkan tekanan kepada Kuala Lumpur bukan sahaja satu bentuk kesungguhan politik yang baharu malah menguntungkan politik kedua-dua pihak untuk tempoh jangka panjang. Dengan kedudukan Sabah yang sangat strategik dan kesan pelaksanaan pelbagai pembangunan termasuk pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah, ini adalah antara elemen yang mesti digembeleng potensinya demi kesejahteraan penduduk Negeri Di Bawah Bayu itu.

GRS juga ada komitmen bersama jentera Kerajaan Persekutuan yang sedang bekerja keras memulihkan kesihatan dan kesejahteraan rakyat serta memacu semula ekonomi yang terkesan akibat pandemik COVID-19 ini. Rakyat Malaysia di Sabah, Sarawak dan Semenanjung adalah keutamaan kerajaan PN ketika ini dan ia sewajarnya mendapat sokongan serta dokongan semua pihak untuk memastikan tiga matlamat itu tercapai.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  +  14  =  19