Graduan UK jadi ‘online scammer’, mangsa rugi RM80,000

 Graduan UK jadi ‘online scammer’, mangsa rugi RM80,000

KUALA LUMPUR 23 JUN 2021. Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai, dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul mengenai kes penipuan jual beli atas talian. WMY/SUPIAN AHMAD

SENTUL, 23 Jun – Dengan berbekalkan gambar curi serta identiti orang lain di Facebook (FB) untuk membuat MyKad palsu, kemudian menggunakannya untuk memohon kad pengeluaran wang automatik (ATM) dan kad kredit yang digunakannya untuk melakukan penipuan jual beli barangan dalam talian.

Sejak 2018, itulah taktik seorang graduan United Kingdom berusia 35 tahun yang menggunakan identiti palsunya untuk memperdayakan peniaga pelbagai barangan hingga menyebabkan kerugian RM80,000.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, graduan dari UK itu mempelajari ilmu penipuan terbabit daripada rakan-rakannya ketika dia belajar di sana sebelum memulakan kerjaya sebagai penipu kononnya ingin membeli barangan melalui dalam talian.

KUALA LUMPUR 23 JUN 2021. Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai, dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul mengenai kes penipuan jual beli atas talian. WMY/SUPIAN AHMAD

Katanya, modus operandi suspek yang bergerak solo itu akan menggunakan Mykad palsu individu lain yang dibuat sendiri selepas mengambil butiran maklumat daripada FB, sebelum memesan barangan yang ingin dibeli menggunakan alamat palsu untuk penghantaran.

“Suspek akan membuat bayaran menggunakan aplikasi e-wallet namun sebaik barangan yang ditempah itu tiba, lelaki berkenaan akan segera menghubungi syarikat e-wallet terbabit dengan memberi alasan identitinya digunakan orang lain, sekali gus meminta pembayaran itu dibatalkan.

“Selepas wangnya diterima kembali, suspek yang bekerja sebagai peniaga dalam talian kemudian akan menjual semula barangan ditipunya itu denga harga yang lebih murah daripada harga pasaran,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini, hari ini.

Eng Lai berkata, suspek juga melakukan penipuan menjual barangan dalam talian di mana apabila mangsa membuat bayaran, barangan yang dibeli mereka tidak diterima.

Walau bagaimanapu, kegiatan suspek akhirnya terbongkar selepas pihak polis menerima laporan daripada pengurus syarikat menjual alatan memancing Jumaat lalu yang kerugian RM14,000 selepas menjadi mangsa penipuan suspek.

“Polis berjaya mengesan dan menahan suspek  di Sungai Buloh, Selangor Jumaat lalu.

“Selain itu, Polis turut merampas pelbagai barangan termasuk peralatan seperti 28 unit telefon bimbit pelbagai jenama, 131 kad sim pra bayar, 45 keping kad kredit, lapan Mykad palsu, dua pasport palsu dan 32 keping kad akses perumahan,” katanya.

Tambah Eng Lai, turut dirampas adalah dua mesin pencetak akses kad, komputer riba, resit deposit wang, fail mengandungi maklumat rekod transaksi, buku mengandungi maklumat mangsa dan tujuh kotak kosong untuk tujuan penghantaran.

KUALA LUMPUR 23 JUN 2021. Antara kad debit yang dirampas dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul mengenai kes penipuan jual beli atas talian. WMY/SUPIAN AHMAD

“Antara barangan yang dibeli suspek untuk meneruskan kegiatannya adalah lima unit alat memancing pelbagai jenama, 18 unit CPU, beg, pemanas air, penghawa dingin dan lain-lain.

“Suspek mengaku melakukan sekurang-kurangnya 40 penipuan dan polis menerima enam laporan membabitkan kerugian RM80,000.

“Sehubungan itu, polis menasihatkan pengguna FB supaya berhati-hati dan tidak terlalu berkongsi maklumat peribadi sehingga diambil kesempatan oleh individu lain untuk tujuan jenayah.

“Orang ramai juga dinasihatkan berhati-hati ketika membeli barangan dalam talian supaya tidak menjadi mangsa penipuan,” katanya.

Katanya, suspek ditahan reman bermula Sabtu lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 25 (1) (e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990.

 

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

35  +    =  36