Graduan Jepun balik kampung jual akok

 Graduan Jepun balik kampung jual akok

Oleh Ama Alias

KOTA BHARU, 3 Mei – Selepas terkesan kehilangan pekerjaan akibat pandemik COVID-19, seorang graduan lulusan Universiti di Tokyo, Jepun mengambil keputusan pulang ke kampung dan menjual makanan tradisi kegemarannya, akok.

Keputusan itu dibuat Muhammad Shamil Mohd Sukri, 26, selepas beliau tidak dapat menjalankan perniagaan pakej pelancongan ke Jepun yang dijalankan sejak tamat graduasi di Negara Matahari Terbit itu.

Katanya, wabak COVID-19 menyebabkan aktiviti pelancongan ke luar negara dihentikan sekali gus menyebabkan beliau hilang mata pencarian yang menjana pendapatan ribuan ringgit kepadanya.

“Berbekalkan wang simpanan yang ada, saya pulang ke kampung. Saya cuba memulakan perniagaan dan yang terlintas di fikiran ketika itu adalah berniaga kuih akok kerana saya penggemar utama kuih tradisional Kelantan ini,” katanya.

Memandangkan Shamil tidak mempunyai pengalaman dan kemahiran mengenai pembuatan akok, beliau nekad berguru dengan empat pembuat akok terkenal dan berpengalaman di Negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Hasilnya, beliau kini mampu membuka dua cawangan kedai akok yang dikenali dengan nama ‘Akok PokLong’ yang diambil sempena namanya yang juga anak sulung selain meletakkan gelaran PokLong sebagai nama yang melambangkan tradisi panggilan orang zaman dahulu berbanding nama Abang Long yang dilihat bersifat lebih moden.

Shamil kini mampu menjual 3,000 biji akok dalam masa sebulan malah meningkat dua kali ganda ketika Ramadan iaitu mencecah 6,000 biji akok.

Dari segi rasa, beliau mengekalkan resepi asli akok yang menggunakan campuran tepung gandum, telur, gula Melaka dan santan namun beliau mengubah kaedah pembakaran akok menggunakan cara moden.

“Jika cara tradisi, akok dibakar guna dapur arang dengan sabut kelapa atau cara moden lain menggunakan pembakar ketuhar. Saya pula selesa menggunakan pembuat kek cawan kerana akok lebih cepat dimasak dan mampu dimasak dengan kuantiti banyak dalam satu-satu masa,” katanya.

Graduan pemegang Ijazah Rekabentuk di Takushoku,Tokyo itu berkata, langkah itu bagi memaksimumkan pengeluaran akok dan kaedah itu mampu menyiapkan 800 biji akok dalam masa sejam menggunakan beberapa biji pembuat kek cawan.

Shamil kini sedang menaikkan jenama Akok PokLong di Kelantan terlebih dahulu dengan menjual akok itu di dua cawangan kedai di kampung halamannya, Kampung Padang Mengkali, Perol dan Kampung Peringat.

Beliau juga bertuah kerana mendapat sokongan padu isterinya, Siti Iffah Ibrahim, 26, yang turut membantu di kedai selain kini mampu menggaji 20 penduduk kampungnya termasuk golongan belia, penggangur dan yang kehilangan kerja akibat COVID-19.

Shamil juga berhasrat membawa makanan tradisi akok setanding sushi yang juga makanan tradisi Jepun yang terkenal hingga dinikmati di seluruh dunia oleh semua lapisan masyarakat.

Untuk itu, beliau mempunyai perancangan masa depan bagi mengeluarkan akok sejuk beku untuk lebih dinikmati dan dimakan di mana sahaja memandangkan hayat akok tradisi hanya mampu bertahan kira-kira dua hari.

“Kita dah jalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk akok mampu bertahan lebih lama memandangkan kita sasar pasaran luar Kelantan. Buat masa ini saya tumpukan dulu jualan runcit secara walk in ke kedai atau dibeli pemborong kuih sahaja,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

21  −  17  =