Terima kasih PM – GPPPPKM

 Terima kasih PM – GPPPPKM

(Gambar Fail) KUALA LUMPUR 25 MEI 2021. Peniaga pakaian, Zamri Ibrahim menunggu pelanggan di premis perniagaannya di Arked Jalan Yunus 6. Memasuki PKP 3.0, golongan penjaja dan peniaga kecil adalah antara golongan yang paling terjejas. WMY/Supian Ahmad

PENJAJA dan peniaga kecil kini mampu menarik nafas lega atas keprihatinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam menyalurkan bantuan tambahan menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi atau PEMULIH yang diumumkan pada 28 Jun lalu.

Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPPKMM), Datuk Ramli Norani berkata, golongan penjaja dan peniaga kecil rata-ratanya terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia, Datuk Ramli Norani.

“Persatuan sedar banyak bantuan yang diterima sejak negara dikenakan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) 1.0 sehingga PKP 3.0.

“Para penjaja dan peniaga kecil juga bersyukur dengan bantuan lain seperti Geran Khas Prihatin, moratorium automatik, kemudahan pembiayaan TEKUN Nasional, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Bank Rakyat untuk kos minimum yang memberi peluang kepada mereka yang terlibat.

“Ia secara tidak langsung membantu mereka meneruskan kelangsungan hidup akibat berdepan masalah kekurangan pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Tambah Ramli, persatuan pada masa yang sama turut memohon agar kerajaan mempertimbangkan supaya lebih banyak perkhidmatan dan jenis perniagaan dibenarkan untuk beroperasi dalam tempoh yang panjang.

Antaranya melibatkan kedai jahit, kedai alat tulis, kelengkapan bayi dan barangan elektrik.

Terdahulu kerajaan telah mengumumkan beberapa jenis bantuan khusus untuk membantu rakyat iaitu Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), Prihatin PKS, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), Pakej Kerangka Inisiatif Tambahan Khas: Kita Prihatin, Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) dan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA).

Supian Ahmad

supianahmad@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

1  +  6  =