Google umum Android 12 dalam persembahan virtual

 Google umum Android 12 dalam persembahan virtual

SYARIKAT teknologi gergasi, Google, mengumumkan ketibaan sistem operasi terbaharunya, Android 12, pada acara Google I/O Keynote, yang diadakan secara dalam talian, semalam.

Menurut Naib President Pengurusan Produk Android dan Google Play, Sameer Samat, sistem operasi terbaharu itu adalah perubahan reka bentuk visual yang terbesar dalam sejarah Android.

“Dengan sistem reka bentuk baharu ‘Material You’, ia memberi pengguna kebebasan untuk mengubah suai ciri-ciri sistem operasi mengikut cita rasa selain mempunyai sistem widget baharu yang mampu memberi nafas baru kepada pengalaman pengguna.

“Selain itu, Android 12 mempunyai sistem privasi yang lebih ketat bagi melindungi data pengguna daripada pihak yang tidak diingini. Sistem operasi ini memperkenalkan bar privasi baharu yang memudahkan pengendalian privasi pengguna,” katanya pada majlis berkenaan.

Figure 1 Reka bentuk baru Android 12 dengan pelbagai pilihan ubah suai dan warna.

 

Tambahnya, sistem operasi ini boleh dimuat turun mulai hujung tahun ini dan berfungsi dengan telefon pintar dari 11 pembuat peranti di seluruh dunia seperti Samsung, OnePlus serta Asus.

Bagaimanapun, hanya telefon pintar Google Pixel yang akan mendapat ciri-ciri penuh sistem operasi berkenaan selain menjadi peranti terawal untuk mendapat Android 12.

Ia bermakna, telefon pintar lain mungkin melaksanakan prinsip tersebut dengan cara berbeza atau mungkin tidak sama sekali.

Sistem widget yang baharu

Sistem widget Android telah mengembangkan reputasi buruknya dengan kadar yang pantas. Selain daripada tidak dipedulikan syarikat aplikasi, masih banyak syarikat belum mengemas kini penampilan widget mereka sejak ianya pertama kali dibuat.

Hasilnya adalah sebilangan besar widget yang berada di sistem operasi Android sebelum ini tidak berfungsi, selain jelek dan tidak konsisten untuk kegunaan skrin utama.

Figure 2 Ciri privasi baru di Android 12

Google berharap dapat memperbaiki semua itu dengan sistem widget baharunya. Seperti semua ciri lain di Android 12, widget yang direka Google untuk aplikasinya sendiri mempunyai reka bentuk yang besar dan ceria.

Antara ciri pintarnya ialah apabila pengguna memindahkan sebuah widget, warna latar belakangnya akan berubah mengikut kesesuaian ‘wallpaper’ yang berada di belakang.

 

Sistem privasi di era informasi

 Google telah menambah beberapa ciri privasi baharu di Android 12 dalam usahanya untuk melindungi data pengguna, kebanyakannya tertumpu pada tiga sensor utama yang dilihat sebagai titik pencetus: lokasi, kamera dan mikrofon.

Kamera dan mikrofon kini mempunyai lampu khusus yang menyala apabila ianya aktif. Apabila sebuah aplikasi cuba menggunakannya secara senyap, sistem sekuriti ketat Android hanya memberikan imej hitam dan senyap.

Bagi privasi lokasi, Google telah menambah pilihan akses yang boleh pengguna berikan kepada syarikat aplikasi. Pengguna diberikan pilihan pemberian lokasi yang ‘precise’ (tepat) atau ‘approximate’ (anggaran).

Penambahan ini secara teorinya memberikan lokasi yang kurang tepat kepada aplikasi yang digunakan. Menurut Google, penambahan ini amat berguna untuk pengguna yang mengutamakan privasi lokasi mereka.

Selain itu, Android 12 memperkenalkan ‘Privacy Dashboard’ yang fokus secara khusus kepada lokasi, penggunaan kamera dan mikrofon. Dalam ciri tersebut, ia mempunyai carta yang merekod akses penggunaan tiga sensor utama berkenaan.

Masalah ‘update’ Android

Antara masalah yang sering menghantui pengguna Android seluruh dunia adalah ketersediaan untuk mendapat sebarang ‘update’ atau kemas kini, terutamanya pada peranti model lama. Hal ini disebabkan syarikat peranti lain tidak diberikan jangka masa yang wajar untuk mendapat kemas kini yang terbaharu.

Namun, menurut Sameer Samat, Google telah mempercepatkan proses ini sebanyak 30 peratus melalui inisiatif ‘Project Treble’ yang mengubah sistem seni bina Android, menjadikannya lebih modular dan selaras.

“Melalui inisiatif ini, ianya memudahkan pengeluar peranti dalam pelancaran pengubahsuaian versi Android mereka sekali gus melajukan proses kemas kini sistem operasi.

“Selain itu, kerjasama Google dengan pembekal terbesar cip mikro Amerika Syarikat, Qualcomm, bagi mempercepatkan proses kemas kini sistem operasi Android,” katanya.

Android 12 cabar iOS

 Dari pandangan seorang yang minat teknologi, Android 12 mampu memberi tentangan hebat dari segi visual terhadap iOS, sistem operasi milik sebuah lagi syarikat teknologi terbesar dunia, Apple.

Sistem operasi milik Apple, iOS, telah mendominasi pasaran alat peranti selama lebih 10 tahun kerana kelancaran yang ia tawarkan kepada keseluruhan pengalaman pengguna selain mempunyai tarikh kemas kini yang selaras di semua produknya.

Google mampu melawan dominasi iOS melalui visual sistem operasinya. Dengan bantuan kecerdasan buatan (artificial intelligence) miliknya, Google mampu melawan reputasi Apple dari segi perisian dan perkakasan.

 

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *