• Thursday, 17 June 2021, 2:32 pm

Golongan bujang B40 mohon tambahan bantuan dinaikkan

 Golongan bujang B40 mohon tambahan bantuan dinaikkan

KUALA LUMPUR, 3 Jun — Pakej PEMERKASA PLUS bernilai RM40 bilion yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin 31 Mei lalu bagi mengurangkan beban rakyat dalam gelombang ‘terbaru’ pandemik COVID-19 mendapat pelbagai reaksi dari rakyat Malaysia.

Kerajaan telah memperuntukkan RM2.1 bilion bagi menambah kadar program Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), di mana isi rumah yang berpendapatan di bawah RM2,500 akan menerima kadar BPR tambahan sebanyak RM500 dan isi rumah berpendapatan RM2,501 hingga RM5,000, akan menerima kadar sebanyak RM300. Golongan bujang B40 pula akan menerima tambahan RM100 kepada BPR RM350 yang diterima sebelum ini. Tambahan ini akan dimasukkan ke akaun penerima pada hujung bulan Jun.

Rata-rata bantuan tambahan ini diterima baik oleh segenap lapisan masyarakat. Namun, bagi golongan bujang, mereka mengharapkan lebih banyak bantuan daripada kerajaan bagi menampung kos sara hidup ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini.

Nisa Irina Mazli, 26, berkata penambahan RM100 itu tidak cukup ‘untuk survive’ memandangkan kenaikan kebanyakan harga barang serta komitmen-komitmen lain.
“Saya dari tahun lepas terpaksa bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi dengan gaji yang dipotong. Termasuk dengan komitmen lain, saya berharap kerajaan menambah sedikit lagi kadar BPR kepada golongan bujang.

Nisa Irina Mazli, 26

“RM100 itu mungkin boleh bertahan dalam tempoh seminggu sahaja ataupun kurang dari itu. Bagaimana pula jika PKP terbaru ini berlanjutan hingga beberapa bulan? Saya berani jamin ianya tak cukup,” katanya.
Bagi Ahmad Amer Zulfiqkar Ramil, 25, beliau berharap kerajaan menambah kadar BPR jika PKP ini dilanjutkan lebih dari dua minggu.

Ahmad Amer Zulfiqkar Ramli, 25

“Saya yakin PKP terbaru ini sama seperti PKP 1.0 Mac tahun lalu, jadi saya berharap BPR ini diberikan sekali lagi sebaik PKP dilanjutkan.
“Bagi saya, tambahan minimum sebanyak RM150 hingga RM200 sudah cukup memadai bagi mengharungi PKP kali ini. Kos sara hidup terutamanya di kawasan bandar agak tinggi, jadi saya berharap kerajaan memandang hal ini,” katanya.

Pandemik yang menjejaskan sektor ekonomi ini memberikan impak yang negatif kepada warga bujang ini, terutamanya perantau yang menyewa di ibu kota dengan harapan untuk mendapat peluang rezeki.

Bagi yang bergaji bulan, ianya sudah cukup perit untuk ditolak gaji mereka mengharapkan bantuan kerajaan untuk meringankan bebanan.

Tetapi bagi yang bergaji hari dan yang mengharapkan usaha harian untuk meletakkan makanan di meja, ‘lockdown’ penuh bermaksud mereka tidak dapat keluar mencari rezeki, dan bantuan kerajaan mungkin satu-satunya sumber harapan untuk meneruskan kehidupan.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *