Goldman Sachs, bekas-bekas pegawai hadapi saman akibat skandal 1MDB

 Goldman Sachs, bekas-bekas pegawai hadapi saman akibat skandal 1MDB

NEW YORK, 29 Jun – Goldman Sachs Group Inc dan dua bekas pegawai syarikat itu diperintahkan oleh seorang hakim mahkamah AS untuk menghadapi saman sivil yang mendakwa mereka menipu para pemegang saham tentang penglibatan mereka di dalam skandal korupsi 1MDB.

Menurut sumber agensi Reuters, Hakim Vernon Broderick di Manhattan berkata, para pemegang saham Goldman yang menyaman mereka telah membuktikan dakwaan bahawa beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh Goldman, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lloyd Blankfein dan bekas Ketua Pegawai Operasi Gary Cohn mengenai 1MDB adalah palsu dan mengelirukan.

Kumpulan pemegang saham yang diketuai oleh dana pencen Sweden Sjunde AP-Fonden mendakwa bahawa nilai pasaran Goldman jatuh berbilion dolar setelah kebenaran tentang penglibatan syarikat itu didedahkan.

Keputusan hakim itu berikutan persetujuan di antara kerajaan AS dan Goldman Oktober tahun lalu untuk syarikat itu membayar penalti sebanyak AS$2.9 bilion dan bagi unit syarikat tersebut di Malaysia mengaku bersalah.

Goldman telah membantu menjual bon 1MDB bernilai AS$6.5 bilion dan mengaut bayaran sebanyak AS$600 juta. Pihak berkuasa AS berkata pegawai-pegawai 1MDB serta mereka yang bersubahat telah menggunakan wang dari bon tersebut untuk membeli barangan mewah serta membiayai filem di Hollywood, sementara pegawai Goldman telah merasuah pelbagai pihak di Malaysia dan Abu Dhabi bagi mendapat kontrak 1MDB.

Hakim itu turut berkata dakwaan Goldman bahawa ia tidak mengetahui apa-apa mengenai salahguna dana tersebut “tidak masuk akal”.

 

WMY

WMY@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  1  =  4