Jaringan gol ‘Supermokh’ diiktiraf FIFA

 Jaringan gol ‘Supermokh’ diiktiraf FIFA

KUALA LUMPUR, 1 Jun — Di sebalik kejayaan Cristiano Ronaldo yang berkongsi tempat dengan Ali Daei sebagai penjaring terbanyak dalam aksi antarabangsa dengan 109 gol, mungkin ramai yang terlupa bahawa lagenda bola sepak Malaysia, Datuk Mokhtar Dahari turut mendapat pengiktirafan antarabangsa daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Dikenali sebagai ‘Supermokh’ pada era kegemilangannya, Allahyarham Mokhtar pernah menggegar dunia bola sepak Asia era 70-an dan 80-an sebelum bersara akibat penyakit saraf, dan hasil jaringan itu kini beliau diiktiraf FIFA sebagai penjaring ketiga terbanyak sepanjang zaman dalam saingan antarabangsa.

‘Supermokh’  telah meledak sebanyak 89 gol dalam 131 penampilannya bersama skuad Harimau Malaya, sekali gus mengatasi pencapaian legenda Hungary, Ferenc Puskas yang menjaringkan 84 gol dalam 85 penampilan, dan bintang Brazil, Pele yang meledak 77 gol.

Antara penyerang paling digeruni dalam sejarah pasukan kebangsaan, Mokhtar pernah membantu skuad Malaysia muncul juara Pestabola Merdeka sebanyak empat kali, Sukan SEA dua kali, serta meraih pingat gangsa Piala Asia 1974.

Manakala pada saingan domestik, pemain kelahiran Ampang itu pernah membantu Selangor merangkul gelaran Piala Malaysia sebanyak 10 kali bermula 1972 hingga 1986, serta kejuaraan liga pada 1984.

Beliau meninggal dunia ketika berumur 37 tahun pada 11 Julai 1991, akibat penyakit distrofi otot di Pusat Perubatan Subang Jaya.

Walaupun sudah 20 tahun pemergiannya, Mokhtar Dahari sehingga kini adalah satu-satunya pemain bola sepak lagenda Malaysia yang mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

6  +  3  =