Gol penalti selamatkan JDT dari diaibkan Perak FC

 Gol penalti selamatkan JDT dari diaibkan Perak FC

Kredit foto : FB JOHOR Southern Tigers

KUALA LUMPUR, 21 Mac  — Jaringan sepakan penalti Leandro Velazquez pada masa kecederaan babak kedua menyelamatkan maruah pendahulu Liga Super Johor Darul Ta’zim (JDT) yang bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat Perak FC 2-2 di Stadium Perak, Ipoh, malam ini.

Keputusan itu juga menafikan Perak FC untuk muncul sebagai pasukan pertama mengutip tiga mata berdepan JDT selepas skuad Harimau Selatan itu tidak pernah tewas dalam 16 perlawanan kempen Liga Super sejak Julai 2019.

Pemain naturalisasi terbaru negara Guilherme de Paula menamatkan kemarau gol dalam lima aksi apabila meledak dua gol masing-masing pada minit ke-34 dan minit ke-59 untuk memberikan keceriaan kepada pasukan tuan rumah.

Namun, dengan status juara bertahan JDT enggan menyerah kalah apabila bangkit memperkemaskan permainan sebelum pemain gantian Muhammad Akhyar Abdul Rashid meledak gol pertamanya musim ini untuk mengurangkan defisit jaringan pada minit ke-75.

Seakan kemenangan berpihak Perak FC, masa tambahan selama enam minit dimanfaatkan sepenuhnya JDT dengan mengasak kubu pertahanan lawan sebelum pemain pertahanan Muhammad Rafiuddin Roddin tertampan bola menggunakan tangan dalam kawasan kotak penalti.

Pada masa sama, Terengganu FC (TFC) dikejutkan dengan kekalahan 1-2 di tangan pasukan di zon penyingkiran Sabah FC yang juga merupakan kemenangan sulung skuad bimbingan Kurniawan Dwi Yulianto.

Pada aksi di Stadium Likas, Kota Kinabalu, pemain import Levy Madinda menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-38 untuk membuka tirai jaringan Sabah FC sebelum giliran Sam Johnson mencetak nama sebagai penjaring empat minit berselang untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Gol sagu hati TFC dijaringkan Jordan Mintah pada minit ke-79 dan kini skuad bimbingan ketua jurulatih Mohd Nafuzi Mohd Zain hanya dipisahkan satu mata di belakang JDT yang mengumpul 11 mata.

Sementara itu, gol tunggal perlawanan D. Kugan memastikan Petaling Jaya City FC melakar kemenangan kedua musim ini selepas menewaskan Sri Pahang FC 1-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Dalam pada itu, Negeri Sembilan FC terpaksa bekerja keras sebelum berjaya mengatasi Skuad Projek FAM-MSN 2-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sekali gus gah di puncak Liga Premier dengan mengutip 13 mata.

Dua gol Negeri Sembilan FC hadir pada babak kedua dengan Barathkumar Ramaloo meledak gol pembukaan pada minit ke-72 diikuti Alain Thierry Akono pada minit ke-85.

Manakala satu lagi aksi Liga Premier menyaksikan Sarawak United kekal di kedudukan kedua liga meskipun mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang Terengganu FC II di Stadium Hang Jebat.

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

18  −    =  13