• Sunday, 20 June 2021, 2:13 pm

Gerhana bulan Syawal, 26 Mei ini

 Gerhana bulan Syawal, 26 Mei ini

JOHOR BAHRU, 24 Mei – Rakyat Malaysia berpeluang menyaksikan fenomena gerhana bulan ketika detik terbenam matahari dan terbit bulan di ufuk timur, pada Rabu ini.

Imam Masjid Kota Iskandar di sini, Ustaz Haji Hanafiah Abd Razak yang juga pakar ilmu falak berkata, detik kedudukan bulan penuh (al-Badar dan al-Istiqbal) pada jam 7.15 petang (rujuk rajah 1 dan rajah 2).

Beliau berkata, berdasarkan kaedah hitungan atau kiraan di lokasi ibu negara, Kuala Lumpur pada 26 Mei 2021, matahari terbenam jam 7.19 malam manakala bulan terbit jam 7.17 malam. Dijangkakan pada jam 7.45 malam, bulan pada ketinggian 6 darjah dan seluruh warga ibu kota dan Putrajaya dapat menyaksikan dengan mata kasar, bulan berada di kaki langit timur dalam keadaan gerhana  hampir 90 peratus wajah bulan pudar gerhana.

Pada jam 8.15 malam, bulan telah keluar 50 peratus dari bayang gelap bumi (umbra) dan pada 8.50 malam, bulan telah keluar sepenuhnya dari bayang gelap bumi.

“Susutan gerhana bulan dapat dilihat dengan mata kasar di mana susutan gerhana bermula dari bahagian bawah sisi kiri permukaan bulan menuju ke permukaan atas bulan .

“Berdasarkan hitungan atau kiraan, didapati penduduk seluruh Semenanjung dapat menyaksikan fenomena gerhana Bulan Shawal 1442H selama 1 jam manakala penduduk di Sabah dapat menyaksikannya hampir dua jam, seawal jam 7 malam sehingga jam 8.50 malam,” katanya kepada Wacana.my.

Ustaz Haji Hanafiah mengulas, fenomena gerhana bulan Syawal 1442H ini adalah ulangan gerhana bulan untuk tiga tahun berurutan iaitu 15 Zulkaedah 1438H, 15 Zulkaedah 1439H dan 15 Zulkaedah 1440H.

Bagaimanapun gerhana bulan tidak berulang pada 15 Syawal 1441H lalu kerana bulan segarisan dengan matahari dan bumi (dua titik al-Uqbah) tetapi tidak sesatah. Maka dengan Tasawwur dan Tashaqqul (rupa dan bentuk yang sama) merujuk titik al-Uqbah al-Nazilah berulanglah kembali pada 26 Mei ini.

Beliau berkata, Sheikh Daud al-Fatani (Wafat 1263H) menulis dalam kitab Furu’ al-Masail bahawa berulangnya gerhana bulan maka berulang al-Hal (Hal-Ehwal) dan al-Ma’al (dapatan dan perolehan).

“Semoga dengan solat sunat gerhana bulan yang dilaksanakan serta istigfar dan doa, kita umat Islam bakal meraih hal-ehwal yang lebih baik serta dapatan perolehan yang menggembirakan selepas gerhana bulan Syawal 1442 nanti,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *