Geran Agropreneur Muda bagi mereka yang baru berjinak dalam projek tani

 Geran Agropreneur Muda bagi mereka yang baru berjinak dalam projek tani

PUTRAJAYA, 19 Ogos — Golongan muda yang baharu menceburi atau belum pernah menjalankan projek pertanian boleh memohon geran di bawah Program Agropreneur Muda mulai hari ini, kata Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Haslina Abdul Hamid.

“Pemberian geran kepada mereka ini tertakluk kepada beberapa syarat yang akan dikemukakan kemudian, antaranya perlu menghadiri kursus teknikal seperti yang ditetapkan,” katanya ketika berucap merasmikan Program Empowerment@ Agropreneur Muda 2021 secara maya hari ini.

Sebelum ini, geran Program Agropreneur Muda hanya diberikan kepada belia yang telah menceburi bidang pertanian dan berfungsi sebagai nilai tambah kepada projek pertanian yang diusahakan.

Program Agropreneur Muda diperkenalkan pada 2016 bagi membantu golongan muda yang terlibat dalam sektor agromakanan serta meningkatkan pendapatan mereka melalui peningkatan produktiviti pengeluaran, kualiti, teknologi dan inovasi serta pasaran yang kompetitif.

Haslina berkata, MAFI telah memperuntukkan RM131.8 juta di bawah program itu sejak dilancarkan yang telah memanfaatkan 7,406 usahawan.

Bagi tahun ini, katanya MAFI memperuntukkan RM15 juta untuk program berkenaan dengan sasaran 750 agropreneur muda menerima manfaatnya, dan setakat Julai lepas, seramai 498 individu telah lulus permohonan geran melibatkan peruntukan RM9.9 juta.

“Daripada jumlah ini (498 usahawan), ia dijangka dapat menyumbang RM29.8 juta kepada negara melalui kesan sampingan ekonomi, membantu ekonomi setempat dan juga sasaran pendapatan sekurang-kurangnya RM5,000 sebulan selepas menerima bantuan geran,” katanya.

Haslina berkata, melalui program berkenaan MAFI dapat ‘meremajakan’ sektor pertanian memandangkan data menunjukkan hanya kira-kira 15 peratus daripada 14.6 juta belia di negara ini terlibat dalam bidang pertanian.

suraya ali

suraya@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  59  =  69