Gerakkan muafakat politik, perkukuh kerjasama dengan pembangkang – PINTAR

 Gerakkan muafakat politik, perkukuh kerjasama dengan pembangkang – PINTAR

KUALA LUMPUR, 15 Jul — Kerajaan dicadang menggerakkan muafakat politik dan menyediakan apa yang dikenali sebagai ‘confidence and supply arrangement’ (perjanjian kepercayaan dan belanjawan), antaranya dengan memberikan peruntukan sebagai isyarat menghargai sokongan mereka dalam usaha berkerjasama bagi memastikan soal pemulihan ekonomi dapat dilakukan dengan baik.

Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR) Profesor Dr. Mohd Roslan Mohd Nor berkata kumpulan-kumpulan yang menyokong kerajaan daripada luar kerangka parti kolisi ini sewajarnya diperteguhkan dalam muafakat politik yang boleh membawa kebaikan kepada rakyat dan negara.

Katanya, peruntukan yang diberikan kepada mereka juga adalah untuk rakyat jua.

“Begitu juga, apa yang dibuat untuk membantu rakyat dengan memberikan peruntukan RM300 ribu kepada setiap ahli parlimen bagi menyediakan bakul makanan, adalah usaha yang sangat baik.

“Oleh itu, kami turut ingin menyarankan agar peruntukan sebegini terus dapat disalurkan kepada semua ahli-ahli parlimen sebagai menunjukkan penghargaan kerajaan terhadap sokongan dan kebersamaan wakil-wakil rakyat dalam membantu kerajaan semasa,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut Mohd Roslan, sikap di kalangan sebahagian ahli politik sangat membimbangkan apabila bertindak mementingkan mengenai kuasa untuk menukar Perdana Menteri tanpa memikirkan kesan yang sedang dihadapi oleh rakyat pada ketika wabak COVID-19 melanda negara.

Justeru, beliau menyeru kepada semua ahli politik untuk menghentikan seketika perbalahan bagi memberi penumpuan kepada agenda pemulihan ekonomi dan membela kebajikan rakyat.

“Sememangnya perbalahan politik sehingga ada pihak yang membangkitkan untuk menukar kerajaan dan ada pula yang cuba kempen untuk menukar Perdana Menteri adalah sesuatu yang sangat tidak sesuai buat masa ini.

“Memperkukuhkan kerajaan dengan kebersamaan ahli-ahli politik dalam menghadapi pandemik, pasti akan dapat menstabilkan semula keadaan ke arah pemulihan ekonomi yang penting untuk diberikan tumpuan masakini.

“Kami yakin terdapat majoriti ahli-ahli Parlimen yang menyokong kepimpinan Perdana Menteri dalam hal membangunkan ekonomi negara dan menjaga kebajikan rakyat ini walaupun ada segelintir ahli parti mereka yang sibuk berpolitik ingin merebut kuasa.

“Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini boleh dijadikan landasan untuk memperkukuh sokongan dan kebersamaan dalam usaha menguruskan negara,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau melihat Perdana Menteri berjiwa besar dengan membuka ruang kerjasama dengan semua pihak yang ingin membantu, sama ada dari pihak kerajaan mahupun pembangkang.

Usaha begini, katanya, sekali gus dapat meletakkan negara dalam landasan terbaik bagi pelaksanaan pelan PPN tersebut.

“Kami mengecam mana-mana pihak yang cuba menangguk di air keruh dalam suasana negara sekarang ini. Suara-suara untuk menukar PM perlu dihentikan, begitu juga dengan kempen tanda pagar yang negatif mesti dihentikan juga.

“Kami turut meminta agar rakyat jangan terpedaya dengan kempen kerajaan gagal kerana terbukti kerajaan bertungkus lumus memberikan yang terbaik buat semua.

“Kami meminta supaya perseteruan politik dihentikan seketika sehinggalah datangnya masa yang sesuai untuk diadakan PRU ke 15 nanti. Sudah tentulah masa yang sesuai tersebut setelah kita mencapai imuniti kelompok berasaskan vaksinasi menyeluruh kepada rakyat,” jelasnya.

Fazlan

fazlan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *