GERAKAN sokong RUU Akta Lompat Parti Dibentang di Parlimen

 GERAKAN sokong RUU Akta Lompat Parti Dibentang di Parlimen

Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.

KUALA LUMPUR, 16 Sept — Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) menyokong penuh cadangan untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Lompat Parti di Dewan Rakyat.

Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, terdapat keperluan untuk akta tersebut diwujudkan iaitu bagi mengelakkan daripada berlakunya aktiviti lompat parti yang membabitkan ahli Parlimen.

“Akta ini sangat penting kerana ia mampu mewujudkan keharmonian serta mengembalikan kesejahteraan rakyat negara ini.

“Sekarang ini negara dalam tempoh pemulihan daripada ancaman Covid-19 selain daripada kita nak memastikan rakyat kembali kepada kehidupan normal dan juga penting untuk memulihkan semula ekonomi negara ini.

“Jadi apa sahaja RUU yang akan membawa kebaikan kepada negara, kita (GERAKAN) akan sokong dan jika RUU tersebut boleh membantu negara terutamanya dalam mewujudkan kestabilan tidak salah kalau kita menyokongnya,” katanya kepada pemberita semasa lawatan menyantuni seorang bekas tentera sempena sambutan Hari Malaysia ke-58 hari ini.

Mengulas lanjut, Dominic berpandangan kestabilan politik adalah faktor terbesar yang dapat menarik minat pelabur besar dari negara asing untuk melabur di Malaysia.

“Negara kita sememangnya bergantung harap kepada pelaburan besar dari negara asing dan kestabilan politik adalah salah satu faktor terpenting bagi mewujudkan keyakinan pelabur untuk melabur di Malaysia.

“Jadi saya ulang, jika RUU itu boleh membawa kepada kestabilan politik, kami di parti Gerakan sangat setuju dan menyokong demi pemulihan ekonomi negara ini dan juga rakyat,” katanya.

Muhammad Iqhwan Hakim Abdullah

iqhwan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

13  −  4  =