• Monday, 21 June 2021, 3:50 am

Geng Nicky: Polis Johor masih tunggu laporan, dokumen termasuk daripada Bank Negara

 Geng Nicky: Polis Johor masih tunggu laporan, dokumen termasuk daripada Bank Negara

Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay

JOHOR BAHRU, 8 Jun — Polis Johor masih menunggu beberapa laporan dan dokumen penting termasuk daripada Bank Negara serta bank lain bagi membantu siasatan kegiatan kumpulan jenayah terancang ‘Geng Nicky’.

Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya juga kini sedang dalam proses memperkemaskan kertas siasatan.

“Pada masa ini kita sedang menunggu laporan daripada Bank Negara serta lain-lain bank yang melibatkan jumlah transaksi yang banyak melibatkan akaun peribadi serta syarikat.

“Operasi Geng Nicky ini bukan kecil dan banyak melibatkan akaun bank. Jadi, ia akan makan masa sedikit,” katanya dalam sidang media hari ini.

Setakat ini, belum ada tangkapan baru dan perkembangan terkini mengenai kes berkenaan akan dimaklumkan.

Bulan lalu, Ayob Khan dilaporkan berkata, permohonan habeas corpus difailkan beberapa individu yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) atau SOSMA, tidak akan mengganggu siasatan pihaknya dalam kes Geng Nicky.

“Itu hak mereka nak persoal ke, saman ke, buat habeas corpus ke. Kami (polis) jalankan siasatan ikut undang-undang yang ada,” katanya.

Pada 30 Mac lalu, Ketua Polis Negara ketika itu, Abdul Hamid Bador berkata, 34 pegawai dan anggota agensi penguat kuasa disyaki bersekongkol dengan ‘Geng Nicky’ yang dikaitkan dengan Pengasas Winner Dynasty Group berpusat di Setiawalk Puchong, Nicky Liow Soon Hee.

Susulan itu, polis pada April lalu mendapat kelulusan notis merah Interpol untuk menjejaki ahli perniagaan dalam buruan, Liow dan pembantunya, Niu Zhe.

Liow, 33, menjadi buruan polis selepas 68 ahlinya ditahan dalam Ops Pelican 3.0 bermula 20 hingga 28 Mac lalu.

Nurman Nasyriq

http://wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *