• Monday, 21 June 2021, 3:48 am

Geng bermotosikal curi tabung derma masjid, anak yatim

 Geng bermotosikal curi tabung derma masjid, anak yatim

Oleh Nurman Nasyriq

JOHOR BAHRU, 30 Mei – Sekumpulan lelaki menaiki motosikal dikesan mula aktif mencuri tabung masjid dan anak-anak yatim di sekitar Pusat Perniagaan Taman Saujana, di sini semalam.

Seorang pemilik restoran di taman itu, Azizan Inche Harun, 38, berkata sebuah tabung masjid untuk pembinaan masjid di selatan Thailand disedarinya hilang pada jam 11 pagi yang diletakkan di hadapan kaunter restorannya.

“Tabung yang separuh penuh itu merupakan usahasama Persatuan Tomyam Johor sejak tiga tahun lalu dan untuk membina masjid di Pattani.

“Selalunya isi tabung itu memang sudah diambil untuk sedekah bagi pembinaan masjid di Pattani tetapi disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kami biarkan dahulu,” katanya ketika ditemui di sini.

Kegiatan kumpulan tersebut terdedah apabila melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kedainya yang mendapati tiga lelaki bermotosikal melarikan tabung tersebut.

Menceritakan kejadian itu, beliau berkata, perniagaannya beroperasi pada jam 11 pagi tetapi tukang masak yang juga bapa saudaranya, Jusoh Mamat, 50, paling awal membuka kedai jam 10.20 pagi.

Azizan menunjukkan laporan polis selepas tabung derma untuk membina masjid di kedainya dilarikan lelaki menaiki motosikal di Pusat Perniagaan Tamadn Saujana, Johor Bahru, semalam.

Pak ciknya ke dapur untuk memotong sayur sebelum terdengar bunyi seperti pintu dilanggar namun sebaik melakukan pemeriksaan tiada sesiapa di luar dalam keadaan pintu yang ditarik separuh sahaja.

Beliau kesal dengan kejadian berkenaan yang pernah berlaku sekitar di Taman Saujana dan Taman Desa Harmoni di sini.

“Saya syaki ini geng curi tabung masjid sebab sebelum ini saya ada nampak tabung-tabung derma kosong dibuang di sekitar sini,” katanya.

Sementara itu, Jusoh mendakwa ketika kejadian mendengar seolah-olah bunyi bising di bahagian pintu masuk kedai makan berkenaan.

“Ketika itu shuttle kedai hanya dibuka separuh memandangkan kedai masih belum beroperasi. Waktu bunyi kuat saya terus bergegas keluar tapi selepas itu saya tengok macam tiada apa-apa yang berlaku.

“Ketika itu saya tidak perasan yang tabung masjid hilang sampailah Azizan turun dan mulai perasaan tabung sudah hilang,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *