Gelora landa Amanah dan hubungan dengan PKR

 Gelora landa Amanah dan hubungan dengan PKR

Oleh Mohd Kamal Ahmad

JOHOR BAHRU, 28 Feb: Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Parti Amanah Negara (Amanah) menyertai rakan sekutunya, Parti Keadilan Rakyat (PKR). Ini adalah perkembangan menarik yang melibatkan kedua-dua parti bukan sahaja di peringkat negeri malah melibatkan hubungan, kerjasama dan masa depan di peringkat nasional.

Tindakan tiga Adun itu disahkan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad, seperti dilaporkan sebuah portal hari ini. Namun Pengerusi Amanah Johor, YB Aminolhuda Hassan, ketika dihubungi Wacana.my hari ini memaklumkan, pihaknya masih tidak mendapat surat rasmi atau kenyataan rasmi dari tiga-tiga mereka.

Justeru, Amanah Johor akan menyerahkan perkara itu kepada kepemimpinan Amanah Nasional untuk mengambil tindakan terhadap ketiga-tiga Adun berkenaan.

“Kita masih menunggu apa yang akan berlaku seterusnya,” kata Adun Parit Yaani itu.

Persoalannya, kenapa mereka meninggalkan Amanah? Dan, jika masih berpegang kepada semangat setia kawan, tetapi kenapa PKR tidak keberatan untuk ‘menerima atau mengambil’ mereka masuk parti itu? Kenapa tidak memilih UMNO sebagaimana  andaian seorang pemimpinnya, baru-baru ini.

(Dari kiri) Khairuddin, Faizul Amri dan Muhamad Said

Adun Senggarang, Khairuddin A Rahim; Faizul Amri Adnan (Serom); dan Muhamad Said Jonit (Mahkota) memilih PKR pasti dengan alasan tersendiri. Apakah kerana mereka melihat Amanah tidak menjamin masa depan politik masing-masing. Kita pun tidak tahu apakah yang dijanjikan oleh PKR kepada mereka atau kepemimpinan tertinggi Amanah tidak membuat ‘counter offer’ supaya mereka tidak meninggalkan parti.

Sementara itu, Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahudin Ayub, turut dihubungi bagi memperoleh perincian perkembangan itu tetapi panggilan tidak dijawab. Soalan yang dihantar kepada melalui aplikasi Whatsapp kepada beliau juga tidak dijawab.

Berikutan perkembangan terbaharu ini, Amanah Johor yang menguasai sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kini berkurangan menjadi enam dan menokok kerusi PKR dari empat kepada tujuh. BERSATU menguasai 12 kerusi manakala PAS (1), UMNO dan DAP (masing-masing 14) serta MIC (2).

Apa yang tersurat dan tersirat dari perkembangan Amanah Johor turut mencerminkan sikap, hubungan, cita-cita mahupun dasar dan masa depan parti kedua-dua parti yang bernaung dalam Pakatan Harapan (PH) itu?

Wacana.my difahamkan, perkembangan di Johor akan merebak ke negeri lain. Apakah, ada antara penyandang kerusi Parlimen dari Amanah akan masuk PKR?  Amanah ketika ini mempunyai 11 kerusi di Dewan Rakyat dan apakah jumlah akan merosot tetapi menokok di pihak PKR?

Pada masa sama, kini secara tiba-tiba akar umbi Amanah dan kepemimpinan parti itu memberi ‘reaksi balas yang keras’ termasuk amaran PKR jangan hipokrit dan lidah bercabang seperti yang dilaporkan sebuah portal hari ini.

Soal setia kawan PKR turut dipertikai dan PKR sepatutnya tidak menerima tiga Adunnya masuk parti itu kerana sama-sama komponen PH. Amanah ternyata tiba-tiba dilambung gelora manakala hubungan parti itu dengan PKR mula panas – apatah lagi apabila sampai kepada tahap hubungan Amanah dengan PKR perlu dikaji semula!

Kita tunggu perkembangan seterusnya yang akan berlaku dalam Amanah dan nantikan kenyataan kepempinan Amanah (Mohammad Sabu) serta PKR (Datuk Seri Anwar Ibrahim) bagi memberi pencerahan mengenai ‘permainan’ ini.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

76  −    =  75