Kerjasama UiTM-WTCKL bakal wujud peluang pekerjaan kepada bakal graduan
Gelombang kedua pembuka tahun 2022

JERANTUT, 4 Januari 2022 – Kurang seminggu kerja pembersihan rumah kesan banjir dilakukan, datang pula gelombang kedua banjir membawa lumpur sebagai pembuka tahun ini.
Suhaimi Roja, 36 tahun berkata, rumahnya dilanda gelombang pertama banjir pada 24 hingga 27 Disember tahun lalu, ketika itu paras air sampai ke bumbung bahagian dapur rumahnya.

“Bila air surut baru-baru ini, saya balik untuk mengemas dan membersihkan rumah, belum habis lagi letih, datang semula banjir kali kedua pada jam 9.00 malam, 1 Januari.
“Saya, emak dan kakak berpindah semula ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) banjir di Sekolah Kebangsaan Teh, tapi banjir kali kedua melanda sedalam kira-kira 1.2 meter,” katanya ketika ditemui di hadapan rumahnya, kelmarin.
Dia teringat arwah ayahnya bila musim tengkujuh hadir, dia (arwah ayah) akan mengangkut dan memindahkan barangan berharga ke rumah rakit yang memang sudah siap sedia sepanjang tahun kerana selalunya setiap hujung tahun sehingga awal tahun akan berlaku banjir di daerah Jerantut.

“Pada tahun 2014, banjir naik sehingga kira-kira 10 meter (32 kaki), habis bumbung rumah ditenggelami banjir sehinggakan bila berperahu, pendayung terkena bumbung rumah.
“Memang berhajat nak ubah suai rumah tinggi seperti dua tingkat, tapi kami keluarga orang susah tidak ada modal untuk membina rumah baharu,” katanya.

Suhaimi berkata, memang kedudukan rumah dia terletak rendah kira-kira 2 meter dari paras jalan raya dan setiap hujung tahun hatinya dan keluarga berdebar-debar bimbang air naik terutama di waktu malam.
“Memang takut, air kalau naik sangat cepat dan deras, rumah ini dekat dengan Sungai Pahang, dua rumah di sini adalah paling awal akan ditenggelami air bersama rumah emak saudara saya.
“Tapi saya bersyukur apa yang ada, ini harta arwah ayah tinggalkan, saya jaga amanahnya bersama tanaman yang ada di kawasan belakang rumah,”katanya.