1,200 pek makanan diperlukan sehari bantu gelandangan

 1,200 pek makanan diperlukan sehari bantu gelandangan

Oleh Iqhram Ahmad

JOHOR BAHRU 16 Feb: Kira-kira 1,200 pek makanan diperlukan setiap hari untuk diagihkan kepada gelandangan di sekitar bandar raya ini selain penyewa bilik dan penghuni rumah pangsa yang memerlukan.

Penyelaras Bahagian Khidmat Masyarakat dan Kesihatan Kebangsaan, Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) di sini, Rosley Abd Wahad berkata, pihaknya menerima antara 10 hingga 20 sumbangan pek makanan setiap hari dan pihaknya mengambil inisiatif menyelaraskan sumbangan supaya tidak berlaku pertindihan mahupun pembaziran.

“PBSM menerima sumbangan pek makanan daripada individu, syarikat mahupun pertubuhan untuk diagihkan,” katanya kepada Wacana.my.

Pada masa sama, PBSM sedang mengumpulkan maklumat penerima bantunan makanan harian yang melibatkan gelandangan di sekitar bandar raya ini dianggarkan 120 orang manakala lebih 400 lagi kalangan penyewa bilik dan penghuni rumah pangsa.

Semalam, PBSM dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengagihkan lebih 300 pek makanan kepada kumpulan sasaran di Laman Tun Sri Lanang, di sini.

Timbalan Ketua BERSATU Johor Bahru, Razrul Anwar Rusli meninjau pengagihan makanan di Laman Tun Sri Lanang

Turut hadir meninjau pengagihan itu ialah Timbalan Ketua BERSATU Johor Bahru, Razrul Anwar Rusli.

Rosley yang juga Timbalan Pengerusi PBSM Kluang berkata, laman itu telah dijadikan sebagai pusat pengedaran makanan bagi gelandangan di bandar raya ini.

“Kami memberikan bantuan makanan kepada semua gelandangan tanpa mengira kaum atau agama.

“Selain makanan seperti nasi lemak dan nasi berlauk, kami turut menyediakan makanan vegetarian sebagai alternatif kepada golongan yang bukan Islam,” katanya.

Katanya, PBSM sedia menjadi platform bagi orang ramai, pertubuhan atau korporat yang hendak menyampaikan bantuan makanan kepada golongan gelandangan.

“Selain makanan, mereka juga boleh menyumbang wang kepada PBSM, yang akan digunakan untuk menyediakan makanan kepada gelandangan,” katanya.

Beliau turut menegaskan kepentingan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) kepada pihak yang mahu mengedarkan bantuan di tempat terbuka berikut pandemik COVID-19 sekarang.

“Bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini, orang ramai perlu memohon kebenaran terlebih dahulu di pejabat daerah serta memaklumkan polis. Selepas diluluskan oleh pejabat daerah dan pihak polis, baru mereka boleh berjumpa dengan pihak PBSM untuk menyalurkan bantua,” katanya.

Menurutnya, pihak yang gagal mematuhi SOP tersebut boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta 171, Akta Kerajaan Tempatan.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  86  =  90