Garis panduan lengkap kemasukan pelajar UniMAP diedar

 Garis panduan lengkap kemasukan pelajar UniMAP diedar

Oleh M A Akid

ARAU, 8 Mei – Garis panduan lengkap kemasukan pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) secara berperingkat ke kampus itu sudah diedarkan kepada semua pelajarnya.

Timbalan Naib Canselor, Akademik dan Antarabangsa UniMAP, Prof Ir Ts Dr Mohd Rizal Arshad berkata, kemasukan pajar akan bermula pada 17 Mei hadapan.

“Kita mengambil maklum situasi terkini pandemik COVID-19 terutama susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di beberapa negeri.

“Sehubungan itu, kami sudah memperkemas semula prosedur operasi standard (SOP) kemasukan pelajar ke kampus selepas cuti Aidilfitri dengan mengambil kira keperluan menjalani proses kuarantin kendiri mengikut status dan lokasi negeri pelajar,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Katanya, pelajar yang datang dari kawasan zon hijau iaitu kawasan PKP Pemulihan dan PKP Bersyarat akan mula hadir ke kampus pada 17 hingga 20 Mei bagi fasa pertama dan 22 hingga 25 Mei bagi fasa kedua.

Prof Ir Ts Dr Mohd Rizal Arshad melakukan flagged off sebagai simbolik pelepasan lima bas yang membawa 121 pelajar UniMAP ke Kelantan dan Terengganu.

Pelajar dari kawasan PKP pula akan mula memasuki kampus pada 21 hingga 23 Mei sahaja dan wajib menjalani proses kuarantin selama 10 hari di Pusat Isolasi Universiti.

“Selain itu, kami memberi pilihan kepada pelajar dari kawasan PKP yang ingin menjalani ujian swab secara sukarela sekurang-kurangnya tiga hari sebelum tarikh kembali ke kampus,” katanya.

Selain itu, berhubung status pelaksanaan kuliah, beliau berkata, UniMAP akan mengekalkan pelaksanaan kuliah secara dalam talian sehingga penghujung semester ini agar ia tidak memberi kesan kepada pelajar yang sedang menjalani kuarantin.

“Bagi tugasan di makmal pula, pelajar yang menjalani kuarantin tidak dibenarkan masuk ke makmal sehingga proses kuarantin berakhir.

“Memandangkan pembelajaran diteruskan secara dalam talian, ia tidak akan memberi kesan besar kepada kalendar akademik universiti,” katanya.

Beliau berkata, pelajar dikehendaki membuat permohonan kembali ke kampus dan menyatakan tarikh kembali dengan jelas melalui pautan yang telah disediakan di laman web http://hd.unimap.edu.my dan klik pada bahagian Form > Kembali Ke Kampus.

“Pelajar dinasihatkan untuk sentiasa jujur dan amanah dalam pengisytiharan status kesihatan diri.

“Pelajar juga perlu patuh kepada SOP yang telah dikeluarkan oleh kerajaan dan universiti bagi memastikan risiko jangkitan dapat dikurangkan,” katanya.

Beliau berkata, dalam situasi pandemik yang semakin meruncing ini, apa sahaja keputusan yang dilaksanakan oleh pihak universiti adalah bagi memastikan keselamatan pelajar sepenuhnya dan mengekalkan status zon hijau di Perlis.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

67  +    =  72