Gajah betina mati dilanggar kenderaan 4×4

 Gajah betina mati dilanggar kenderaan 4×4

Oleh Nurman Nasyriq

KOTA TINGGI, 19 Mac — Seekor gajah betina dewasa mati dilanggar sebuah pacuan empat roda selain turut dilanggar beberapa kenderaan lain di Batu 7, Jalan Kota Tinggi-Mersing, dekat sini malam tadi.

Kejadian dipercayai berlaku jam 12.15 tengah malam sebelum orang awam yang menyaksikannya menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor.

Pengarah Perhilitan Johor, Salman Saaban berkata, pasukan anggota Perhilitan digerakkan segera ke lokasi kejadian dan menemukan bangkai ibu gajah mati di tepi jalan.

“Saksi memberitahu, kejadian berlaku jam 11 malam pada 18 Mac, apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda dari arah Kota Tinggi menghala Mersing melanggar gajah tersebut dan beberapa buah kenderaan turut terlibat termasuk sebuah treler yang tidak sempat mengelak gajah tersebut di atas jalan raya.

“Gajah itu mati di tempat kejadian. Kenderaan 4×4 itu rosak teruk di bahagian hadapan dan treler rosak di bah

agian kanan hadapan serta beberapa buah kenderaan lain yang tidak dapat dikenal pasti kerosakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pemandu dan penumpang yang terlibat dalam kemalangan tersebut mengalami kecederaan ringan.

Pihaknya sedang mendapatkan maklumat lanjut berkenaan jumlah sebenar kenderaan terlibat serta mangsa yang tercedera.

Menurutnya, ini kerana hanya treler tersebut masih berada di lokasi kemalangan manakala kenderaan lain sudah ditunda semasa Perhilitan tiba.

Perhilitan sudah mengambil data morfologi asas sebelum bangkai gajah ditanam pagi ini dan hingga kini pihaknya masih lagi berada di lokasi kejadian untuk memantau saki-baki kumpulan gajah tersebut yang masih lagi berada sekitar kawasan kemalangan.

“Gajah tersebut merupakan sebahagian daripada ID Panti yang dianggarkan berjumlah 30-40 ekor. Jalan Kota Tinggi-Mersing merupakan ‘hotspot’ laluan lintasan gajah terutamanya di Batu 4 hingga Batu 14,” katanya.

Salman berkata, 20 papan tanda amaran lintasan hidupan liar telah dipasang di sepanjang jalan itu untuk memberi peringatan kepada pengguna jalan raya agar berhati-hati melalui kawasan tersebut terutama pada waktu malam atau awal pagi.

Keadaan jalan yang gelap dan tidak dipasang lampu menyebabkan keadaan agak berbahaya apabila melalui kawasan tersebut.

“Perhilitan sedang berunding dengan pihak berwajib bagi memasang lampu jalan di kawasan berkenaan,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  2  =  1