Gabungan PAS, UMNO, BERSATU berterusan sehingga PRU Ke-15

 Gabungan PAS, UMNO, BERSATU berterusan sehingga PRU Ke-15

Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA TERENGGANU, 3 Sept — Gabungan tiga parti iaitu PAS, UMNO dan BERSATU akan terus kekal sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata hubungan UMNO dan PAS dalam Muafakat Nasional (MN) juga tidak terjejas walaupun tiada mesyuarat rasmi diadakan.

Katanya, perbincangan bertujuan mengukuhkan hubungan antara dua pemimpin PAS dan UMNO secara dalam talian juga sering diadakan.

“Selain perbincangan melalui dalam talian, perjumpaan juga kerap diadakan antara kedua-dua pemimpin, cuma mesyuarat secara rasmi belum boleh diadakan berikutan penularan pandemik COVID-19.

“Kita akan mengadakan mesyuarat secara rasmi MN dalam tempoh terdekat, tetapi tarikh sebenar belum ditetapkan,” katanya pada sidang media selepas meninjau kerja membaik pulih kerosakan paip di Sungai Terengganu, di Kampung Losong, pada Khamis.

Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, pembentukan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah hasil muafakat ketiga-tiga parti.

Katanya, hubungan baik antara pimpinan ketiga-tiga parti masih berjalan cuma mesyuarat rasmi belum boleh diadakan.

“Kali terakhir perjumpaan semua pemimpin gabungan tiga parti adalah beberapa hari sebelum pembentukan kerajaan pada 17 Ogos lalu,” katanya.

 

WMY

WMY@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

9  +  1  =