G7 cadang bina infrastruktur saingi ‘belt and road’ China

 G7 cadang bina infrastruktur saingi ‘belt and road’ China

CARBIS BAY, UK, 12 Jun – Kumpulan tujuh negara kaya G7 akan mengumumkan projek infrastruktur global sebagai tindakbalas kepada inisiatif mega ‘belt and road’ oleh China, menurut seorang pegawai kanan kerajaan Amerika Syarikat (AS).

Menurut Reuters, pegawai tersebut yang tidak ingin dikenali berkata Amerika Syarikat akan juga memastikan pemimpin G7 lain untuk bertegas  dan mengutuk negara China mengenai isu buruh paksaan.

“Ini bukan sebab kami sengaja ingin menentang China,” kata pegawai tersebut. “Tetapi hingga sekarang kita belum ada apa-apa alternatif positif kepada inisiatif China itu; alternatif yang membayangkan nilai-nilai, standard dan norma kami.”

Belt and Road Initiative (BRI) China itu merupakan satu projek bernilai bertrilion dolar, dilancarkan pada 2013 oleh Presiden Xi Jinping. Ia melibatkan inisiatif-inisiatif pembangunan dan pelaburan di Asia, Eropah dan serantau.

Lebih dari 100 negara telahpun memeterai perjanjian dengan China untuk bekerjasama di dalam projek-projek BRI seperti landasan keretapi, pelabuhan, lebuhraya dan lain-lain. Menurut database Refinitiv, sehingga pertengahan tahun lalu, lebih dari 2,600 projek bernilai AS$3.7 trilion dikatakan bersangkut paut dengan inisiatif BRI, walaupun kementerian luar China berkata Jun lalu bahawa 20 peratus daripada projek-projek tersebut telah terkesan dengan pandemik COVID-19.

Bulan Mac lalu, Presiden Joe Biden berkata bahawa beliau mencadangkan kepada Perdana Menteri Britain Boris Johnson supaya negara-negara demokratik patut membangunkan inisiatif sendiri bagi menyaingi BRI, yang menurut kerajaan Amerika adalah “tidak telus, mempunyai standard mesra alam dan kebajikan pekerja yang buruk” dan memberi kesan buruk kepada negara lain.

“Jadi esok, kami akan mengumumkan inisiatif baru bersama rakan-rakan G7 yang lain,” tambah pegawai AS tersebut.

Setakat ini masih tiada maklumat terperinci tentang bagaimana inisiatif G7 ini akan dibiayai. “Rancangan ini akan melibatkan mengumpul modal menerusi dana awam dan swasta berjumlah beratus bilion dolar bagi membantu mentutup lopongan dan kelemahan infrastruktur bernilai AS$40 trilion di negara-negara membangun pada tahun 2035,” kata beliau.

 

WMY

WMY@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

23  +    =  29