Foto dari KL menang pertandingan di PBB, Geneva

 Foto dari KL menang pertandingan di PBB, Geneva

Oleh Mohd Kamal Ahmad

KUALA LUMPUR: Mengenali kamera dan lensa pada berusia 14 tahun tetapi bergiat secara rasmi sebagai jurugambar pada 2013 ketika berusia 40 tahun, demikian kisah Norarsikin Maakim yang kini seorang jurugambar profesional.

Ternyata, kombinasi dorongan ayah, minat dan ilmu yang ditimba di institusi pengajian tinggi (IPT) membolehkan wanita 47 tahun itu membina kerjaya dengan cemerlang walaupun sebelum itu bekerja dalam bidang pengurusan perniagaan.

Pendidikan secara formal dalam bidang fotografi ditimba menerusi kursus enam bulan di Pusat GiatMARA,  Kepong, Kuala Lumpur pada 2013. Daripada kamera analog yang menggunakan filem, Arsikin kemudian mendalami ilmu kamera digital.  Seterusnya, beliau menimba ilmu di Dianty Photo Academy. Pada 2016, beliau menyambung semula pengajian menerusi kursus Advanced Digital Imaging juga di pusat kemahiran yang sama.

Norarsikin Maakim

Merasakan ilmu belum mencukupi, Arsikin mengambil kursus jangka pendek Certificate On Creative Flower Photography di Wimbeldon Art Studio, London pada 2018 dan mengakhiri pencarian ilmu dengan kursus Certificate Advanced Retouching With Photoshop di University Art of London dan Central Saint Martin College Of Art & Design, London pada 2019.

Pengaruh arwah ayahnya, Maakim Lembak, yang juga meminati fotografi banyak mendorong Arshikin menceburi bidang itu selain minat yang sekian lama subur dalam dirinya yang gemar merakam gambar subjek ‘human interest’, kanak-kanak dan haiwan..

Selain menjadi jurugambar, beliau menceburi perniagaan dalam bidang berkaitan termasuk menganjurkan bengkel fotografi, merakam gambar produk dan mengedit gambar lama yang rosak menggunakan perisian canggih.

Mengenai relevan dunia fotografi dalam dunia digital sekarang, Arsikin berkata ilmu fotografi tetap sama dari dulu, sebaliknya dunia digital masih baharu dan perlu diterokai seiring perkembangan zaman

“Tetapi kombinasi kedua-duannya menjadikan dunia fotografi lebih menarik,” katanya kepada Wacana.my.

Beliau yakin bidang fotografi tetap menjamin masa depan seseorang dengan syarat dia mesti berusaha bersungguh-sungguh di pasaran semasa, mengekalkan reputasi yang baik dengan guru selain pelanggan serta peminat fotografi.

“Kita juga mesti bersedia menerima kritikan membina dan mengadaptasi keperluan dan kehendak semasa serta sentiasa berguru dengan mereka yang pakar dari pelbagai genre fotografi,” katanya yang mempunyai tiga anak lulusan IPTA masing-masing dalam bidang kejuruteraan penyenggaraan pesawat, keselamatan teknologi maklumat serta perakaunan.

Dengan keyakinan, ilmu dan pengalaman yang ada, Arsikin menyahut cabaran Global Photo Contest 2020 anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) secara online dengan tema ‘Humans Locked DownNature Unlocked’ pada Julai lalu.

Beliau menghantar gambar seekor monyet yang dirakam di depan mata pada masa, dan lokasi yang tepat.

“Ia satu-satunya monyet yang tertarik dengan pelitup muka. Monyet-monyet lain tertarik dengan makanan. Jadi, ia bertepatan dengan tema pertandingan fotografi PBB itu,” katanya sambil memberitahu gambar tersebut dirakamkan menggunakan kamera Nikon D750 dalam tempoh sejam pada 27 Jun 2020 di Pantai Kelanang, Selangor.

Katanya, tarikh tutup pertandingan itu pada 15 September dan keputusan pemenang diumumkan pada 1 Oktober 2020.

“Pertandingan ini mendapat 3,000 penyertaan dari seluruh dunia,” katanya yang tersenarai dalam 13 pemenang terbaik dan gambar monyet tersebut layak diabadikan dalam kalendar khas PBB untuk Mac 2021. Kalendar itu akan dipertontonkan kepada pemimpin dunia dan peserta dalam satu persidangan antarabangsa, penghujung tahun ini.

Kemenangan itu turut melayakkan gambar Arsikin dipromosikan di Palais des Nations di Geneva (tertakluk kepada keadaan COVID-19) dan galeri online.

Tahun lalu turut menyaksikan pencapaian wanita ini memenangi hadiah khas pada The Mellow Art Award 2020 di Jepun yang menerima 13,000 penyertaan dari seluruh dunia. Sebelum itu, beliau memenangi beberapa pertandingan fotografi anjuran pelbagai pihak yang sekali gus membuktikan bahawa kesungguhan, minat dan fokus dalam sesuatu perkara pasti membuahkan hasil terbaik.

Antara hasil foto Arsikin.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *