• Monday, 21 June 2021, 3:07 am

FOMCA desak henti kenaikan harga insurans

 FOMCA desak henti kenaikan harga insurans

KUALA LUMPUR, 6 Jun. – Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mendesak syarikat insurans supaya berhenti mengambil kesempatan dengan menghentikan kenaikan harga insurans perubatan yang dikatakan kejam dan tiada empati dengan nasib rakyat yang sedang dilanda musibah semasa pandemik ini.

Presidennya, Datuk Dr. Marimuthu Nadason berkata dalam satu kenyataan rasmi, industri insurans yang sepatutnya melindungi kebajikan pengguna sebaliknya memilih untuk mengaut untung sendiri.
“Bagi memastikan betapa seriusnya masalah ini, tinjauan kami mendapati kenaikan kadar harga insurans dari RM700 hingga RM6,500.

“Dalam keadaan ekonomi yang kritikal ini, ramai pengguna telah terlibat dengan pemotongan gaji dan yang kehilangan pekerjaan tetapi syarikat insurans tetap mengambil kesempatan ini dengan meningkatkan premium insurans perubatan,” katanya.

Menurutnya, yang paling mengecewakan adalah apabila Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai pihak yang mengawal selia industri insurans memilih untuk menutup mata terhadap penderitaan pengguna.

Disebabkan itu, syarikat insurans tahu pihak yang mengawal selia industri insurans tidak akan mengambil peduli atau langsung tidak wujud untuk memantau pergerakan mereka.

“Walaupun FOMCA telah menggesa pihak kerajaan mengenai moratorium insurans, ianya bukan sahaja tidak dikuatkuasakan malah syarikat insurans memutuskan bahawa mereka tetap menaikkan kadar.

“FOMCA menggesa pihak BNM untuk bertindak lebih tegas dalam melindungi kebajikan dan kesejahteraan pengguna dengan menguatkuasakan moratorium premium insurans untuk semua pengguna sehingga pendapatan mereka lebih stabil dan pekerjaan mereka juga terjamin.

Selain itu, Marimuthu turut menyeru syarikat insurans untuk menangguhkan kenaikan premium insurans perubatan bagi membantu pengguna memberikan fokus keutamaan kepada krisis semasa yang lebih kritikal iaitu krisis kesihatan dan krisis ekonomi.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *