Fintech tidak akan dapat menggantikan bank, kata pakar industri

 Fintech tidak akan dapat menggantikan bank, kata pakar industri

KUALA LUMPUR, 1 April — Gangguan digital meningkat dengan pesat semasa era COVID-19 tetapi teknologi kewangan (fintech) tidak akan dapat menggantikan bank, kata seorang pakar industri.

Naib Pengerusi Dewan Perniagaan Singapura di Indonesia Joel Shen berkata ini kerana bank sentiasa berkembang, oleh itu fintech dan bank tidak akan bersaing pada spektrum yang sama.

Joel Shen

“Saya melihat fintech sebagai akhirnya sama ada dijual kepada bank, diasimilasikan oleh bank atau dimajukan oleh bank itu sendiri.

“Saya tidak fikir fintech sebagai pengganggu tetapi lebih kepada alternatif,” katanya dalam acara webinar yang dkendalikan oleh Yayasan Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF), menerusi WIEF Young Leaders Network, bertajuk ‘SME Trends: Disruptive Innovations Impacting SMEs’ (Trend PKS:Inovasi Disruptif Beri Impak kepada PKS) pada 30 Mac, 2021.

Acara itu dihadiri 55 peserta dari 13 negara, termasuk Afrika Selatan, United Kingdom, Belgium, Singapura, Filipina dan Indonesia.

Shen berkata fintech dan e-dagang berkembang sangat pantas dengan teknologi dan logistik pembayaran digital menjadi dua tunggak yang menyokong pembangunan sesebuah ekonomi.

“Beberapa bank terbesar di Asia Tenggara hari ini menerajui pembangunan fintech.

“Dengan perkembangan pesat teknologi digital, terdapat kekurangan ketara dalam kemahiran digital, memaksa ekonomi-ekonomi matang untuk mengimport tenaga kerja dari negara membangun,” katanya.

Justeru, keperluan untuk mengembangkan tenaga kerja tempatan dilihat amat kritikal sekarang, kata Shen.

“Tidak ada penyelesaian mudah (untuk menanganinya) melainkan pendidikan.

“Bagaimanapun, untuk membangunkan tenaga kerja seperti saintis data akan mengambil masa, kerana situasi dunia mungkin sudah berbeza pada saat mereka menamatkan pengajian,” katanya.

 

 

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

86  −    =  77