Fintech Islam berpotensi sediakan penyelesaian inklusif dan lestari

 Fintech Islam berpotensi sediakan penyelesaian inklusif dan lestari

KUALA LUMPUR, 21 April — Membangunkan teknologi kewangan Islam (fintech) sangat penting sekarang terutama untuk memenuhi keperluan kewangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan golongan B40 dengan kesukaran yang wujud akibat pandemik COVID-19.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF), Prof Dr Mohd Azmi Omar berkata COVID-19 memberi kesan kepada pertumbuhan kewangan Islam menyebabkan ia merosot dengan mencatatkan pertumbuhan satu digit pada tahun 2020 berbanding dengan pertumbuhan dua digit dari tahun 2012 hingga 2019.

Fintech Islam berpotensi untuk menyediakan penyelesaian kewangan yang lestari dan inklusif yang dapat memenuhi keperluan kewangan semua segmen masyarakat.

“Fintech Islam di Malaysia berkembang dengan baik dengan mencatatkan tiga peratus pada tahun 2019 dan sehingga 2020, kami mencatatkan lebih daripada enam peratus dan berharap supaya Malaysia dapat terus menjadi pusat Fintech di seluruh dunia,” katanya pada sesi persidangan secara maya Majlis Perancangan Kewangan Malaysia Ke-8 mengenai Pengurusan Kekayaan Shariah dan Perancangan Kewangan semalam.

Beliau berkata persekitaran pengawalseliaan Malaysia yang kukuh, landskap Fintech yang komprehensif, komuniti kewangan Islam yang menyokong dan komitmen kerajaan untuk memperkasakan ekonomi Islam dapat membuka jalan bagi negara ini menjadi hab fintech Islam global.

Menerusi visi dan kelebihan seperti itu, syarikat pemula niaga fintech Islam di Malaysia dapat menjamin prospek pertumbuhan jangka panjang dengan meningkatkannya bagi memenuhi ekonomi Islam di peringkat global yang berjumlah kira-kira 1.8 bilion orang di seluruh dunia.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Datuk Syed Zaid Albar dalam ucapannya berkata pandemik yang berlanjutan telah mengganggu cara orang berinteraksi secara sosial dan juga dalam urus niaga perniagaan.

Beliau berkata pasaran modal tidak terkecuali dengan peralihan tingkah laku pelabur dan penggunaan peralatan dan perkhidmatan digital.

“Sepanjang tahun lepas seperti yang anda ketahui, pasaran saham global menyaksikan peningkatan dalam penyertaan runcit.

“Begitu juga di Malaysia, kami juga melihat peningkatan minat dalam perniagaan runcit bukan hanya dalam stok dan saham tetapi juga dalam penawaran digital,” katanya.

Ini termasuk ekuiti pendanaan awam, pembiayaan rakan setara, aset digital dan perkhidmatan pengurusan pelaburan digital.

“Sebenarnya, pengurus pelaburan digital berlesen kami secara kolektif telah meningkatkan asas pelanggan mereka lebih daripada lapan kali dengan jumlah aset di bawah pengurusan berjumlah RM466 juta pada akhir tahun 2020,” katanya.

Beliau berkata tawaran digital telah berlaku dengan meluas kerana teknologi memberikan penyelesaian yang mudah dan menjimatkan kos untuk pelabur dan penerbit.

“Dilengkapi dengan platform dan penyedia alternatif yang berkembang maju, kemudahan akses ini melalui peralatan digital dan peranti mudah alih telah menarik perhatian orang muda dan dewasa,” katanya.

Justeru, ia adalah sesuatu yang penting juga untuk memulakan perjalanan transformasi digital untuk mencapai perkhidmatan dan kecekapan pelanggan yang lebih tinggi.

 

 

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

66  +    =  68