FINAS kurangkan birokrasi permohonan dana

 FINAS kurangkan birokrasi permohonan dana

Datuk Saifuddin Abdullah

KUANTAN — Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) turun padang dalam usaha mengurangkan birokrasi pemohonan dana Pakej Ransangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA), kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata antara langkah yang dilakukan ialah program Komuniti@Finas (KoFi) yang menyaksikan dana itu dapat disalurkan lebih cepat kepada bakat baharu untuk menghasilkan kandungan kreatif seperti video pendek dan dokumentari bagi platform digital.

“Melalui KoFi, kita bercadang turun ke setiap negeri dengan menganjurkan bengkel kepada pemohon sebelum mereka melakukan ‘pitching’ (pembentangan idea) kepada Finas disusuli proses penilaian dan pemberian surat tawaran dana.

“Tempoh pelaksanaan juga boleh berlaku sekitar tiga minggu yang mana sebelum ini, proses berkenaan sekurang-kurangnya mengambil masa tiga bulan. Ini juga antara kaedah kita mempercepat dan memudahkan proses pengeluaran dana.

“Langkah ini dibuat selepas kita belajar daripada pengalaman lepas yang menyaksikan peruntukan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) sebanyak RM550 juta bagi dana kandungan kreatif tidak habis digunakan sehingga berbaki separuh,” katanya.

Saifuddin berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran Mikro PRISMA Dana Kandungan Digital Bersempena Program Outreach Bahagian Pengurusan Produksi Finas di sini hari ini kepada 116 individu bernilai RM1.5 juta.

Turut hadir Pengerusi Finas Zakaria Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif Finas Dr Ahmad Idham Ahmad Nazri.

Selain itu, Saifuddin menggalakkan pemain industri kreatif menghasilkan filem kenegaraan yang mengetengahkan elemen peradaban dan keagamaan bagi tujuan mempromosikan Malaysia.

Ahmad Idham pula berkata kru dan pelakon yang terlibat dalam penggambaran sebuah filem di Kuala Kangsar, Perak telah dikuarantin setelah terdapat jangkitan COVID-19 dalam kalangan mereka.

“Mana yang telah didapati positif COVID-19 telah diuruskan oleh Pejabat Kesihatan Daerah manakala selebihnya diarahkan menjalani kurantin wajib,” katanya.

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

84  −  76  =