Finas didakwa tidak bela penggiat perfileman

 Finas didakwa tidak bela penggiat perfileman

Oleh Suraya Ali 

KUALA LUMPUR, 5 Feb: Penggiat industri perfileman negara mahu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) lebih peka dan proaktif membantu mereka tetapi sebaliknya lebih fokus kepada Program Padu Citra.

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PLP) 2.0 dikuatkuasakan, Finas didakwa tidak membantu penggiat industri itu sedangkan ramai yang menghadapi masalah kewangan serta pelbagai kepayahan lain untuk meneruskan kehidupan.

Pengarah filem, Shamsul Akmal Asmoni mendakwa, Finas sekadar menulis surat pada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan mengambil sikap ‘tunggu’ sekali gus tidak nampak kesungguhan mereka untuk mengatasi masalah penggiat perfileman yang kini melalui detik sukar.

Shamsul Akmal Asmoni

Beliau berkata, dalam masa sukar seperti sekarang sepatutnya bukan Program Padu Citra yang patut diberi perhatian oleh Finas. 

“Sejak PKP 2.0 ini, tidak ada sebarang bantuan yang dihulurkan kepada penggiat perfileman sedangkan Finas tahu kebanyakan kami bergantung kepada gaji harian. Jika tidak kerja, kami tidak mendapat sebarang bayaran. Bagaimana kami mahu meneruskan kehidupan termasuk menyediakan keperluan anak-anak yang kini belajar on-line dan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR),” katanya kepada Wacana.my.

Shamsul turut hairan, kenapa sehingga kini Finas gagal mendapatkan kebenaran dari MKN bagi membolehkan aktiviti penggambaran filem dan drama diteruskan. 

“Kru produksi tidak dapat menjalankan penggambaran. Ini bermakna mereka tidak ada sumber pendapatan. Apakah Finas akan terus membisu dan membiarkan mereka kelaparan?” tegasnya. 

Lebih memeritkan, tambah beliau, bukan sahaja industri tidak ada kebenaran meneruskan pekerjaan, malah Finas tidak ada inisiatif membantu pekerja yang terjejas akibat pandemik COVID-19. 

“Ramai yang terkesan, tiada sumber pendapat dan mengharapkan bantuan kawan-kawan, saudara mara, jiran tetangga dan badan bukan kerajaan untuk sumbangan makanan. 

“Bagaimana dengan sewa rumah, bayaran bil, pendidikan anak-anak dan keperluan lain? Tidakkah Finas sedar kesan dari ketidakcekapan mereka?” persoal Shamsul lagi. 

Menurutnya, persatuan yang menaungi warga seni juga sudah mula diketepikan oleh Finas sedangkan persatuan itulah yang banyak membantu mereka ketkika PKP 1.0. 

“Tetapi apabila PKP 2.0 dilaksanakan, kebanyakan persatuan sudah kekurangan dana untuk menyediakan bantuan,” katanya. 

Namun kata Shamsul, masih ada usaha dari pihak persatuan untuk membantu ahli yang terkesan walaupun tidak banyak. 

Semakan Wacana.my mendapati, ada kalangan pekerja industri perfileman yang mahu memasang khemah dan berkampung di kawasan pejabat Finas sebagai pernyataan protes selepas mereka tidak lagi mampu melunaskan sewa rumah dan diminta mengosongkan rumah masing-masing. 

Pekerja lain pula memaklumkan Wacana.my yang mereka gagal menyediakan keperluan asas untuk keluarga akibat kesempitan hidup ekoran tidak dapat bekerja. 

Sementara itu, Pengerusi Finas, Datuk Ahmad Idham Ahmad Nadzri gagal dihubungi bagi memberikan pandangan mengenai perkara tersebut.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

66  −    =  64