Fikirkan perpaduan, bukan perpecahan

 Fikirkan perpaduan, bukan perpecahan

Oleh Dato’ Nakhaie Ahmad

PERPADUAN di kalangan rakyat Malaysia dari pelbagai banga, agama dan budaya yang didambakan tidak akan tercapai tanpa perpaduan orang Melayu beragama Islam yang merupakan golongan majoriti di negara ini.

Perpecahan di kalangan mereka lebih banyak disebabkan ideologi dan jalur politik yang berbeza. Hanya sedikit sahaja disebabkan perbezaan faham agama. Justeru punca perpecahan tidak terlalu mengakar dan boleh diselesaikan dengan muafakat politik yang jitu di kalangan pemimpin politik yang berjiwa besar.

Keadaan politik di kalangan politik orang Melayu kini memang mencabar. Mereka hilang kuasa majoriti dan bukan mudah untuk mendapat kembali kuasa majoriti 2/3 yang mereka miliki sebelum ini. Terutama setelah berlaku persempadan kawasan pilihan raya yang menambahkan kawasan marginal hasil pemikiran cetek pemimpin UMNO suatu ketika dulu kerana bimbang kemaraan PAS. Minda perpecahan menguasai pemikiran yang membawa hasil negatif dan menyebabkan kuasa politik orang Melayu terjejas teruk. Antara elemen yang membentuk minda perpecahan di kalangan pemimpin politik Melayu ialah gila kuasa dan bimbang kuasa akan terlepas ke tangan parti lain di kalangan orang Melayu juga.

Kedua, sayang harta benda yang dikumpul melalui kuasa politik dirampas dan perbuatan korup didedahkan kepada publik. Ketiga, mengharapkan bangsa lain akan setia bersama mereka sepanjang masa dan kerana itu permusuhan sesama sendiri dianggap perkara enteng.

Keempat, perasaan ego dan berfikir bahawa parti aku yang terkuat dan paling layak memimpin apa jua gagasan politik yang dianjurkan untuk perpaduan bangsa.

Ada tiga parti politik Melayu yang mempunyai keupayaan mencorak masa depan politik bangsa Melayu. Pertama, parti BERSATU yang mengetuai kerajaan Perikatan Nasional.Kedua, parti UMNO yang masih mempunyai akar umbi yang kuat dan mempunyai majoriti di kalangan ahli parlimen Melayu dan ketiga, parti PAS yang mempunyai jentera pilihan raya yang tersusun, iltizam ahli yang kuat dan akar umbi yang tidak kurang kuatnya berbanding UMNO.

Minda perpecahan ini mesti dibersihkan daripada akal pemikiran politik ketiga-tiga golongan politik orang-orang Melayu yang penting ini bagi melurus jalan menuju perpaduan. Pemikiran tidak seharusnya dikuasai oleh ego kekuatan yang dirasakan ada pada parti masing-masing tetapi harus fokus kepada keinginan untuk membina perpaduan bangsa dan memperkasa kembali politik bangsa sebagai kekuatan politik yang dominan di negara ini dan menjadi paksi kekuatan yang mampu membina dan mendokong perpaduan rakyat Malaysia umumnya.

Untuk itu, kekuatan yang dapat menyatukan bukan lagi elemen kuasa di tangan siapa atau ego yang merasakan diri masih kuat dan berpengaruh.Yang diperlukan ialah elemen positif yang perlu diperolehi.

Antara yang penting ialah agenda perjuangan bersama bagi kejayaan masa hadapan Melaysia.

Malaysia harus dibangunkan sebagai negara maju yang mempunyai jati diri dan acuan pembangunannya yangs tersendiri. Parti-parti Melayu mesti merangka agenda yang diperlukan dan bersatu mendokong agenda ini bersama demi kejayaan Malaysia dan kemajuannya.

Penulis ialah veteran politik dan pendakwah.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

4  +  3  =