Fenomena Istiwa’ A’dzam untuk semak arah kiblat

 Fenomena Istiwa’ A’dzam untuk semak arah kiblat

ISTIWA’ A’dzam adalah fenomena apabila matahari berada tepat di atas Kaabah. Peristiwa ini akan berlaku dua kali setahun apabila nilai sudut istiwa’ matahari sama dengan latitud Makkah. Apabila fenomena ini berlaku, bayang objek tegak di tempat lain akan menunjukkan ke arah Kaabah. Fenomena ini adalah kaedah tradisional falak untuk menyemak arah kiblat.

Bayang matahari ketika fenomena Istiwa’ A’dzam di Balai Cerap Teluk Kemang, Port Dickson.

Matahari akan berada tepat di atas Kaabah setiap tahun pada tarikh 28 Mei (12:16 tengah hari) dan 16 Julai (12:28 tengah hari). Ketika ini, jika anda memerhatikan Kaabah, ia tidak akan mempunyai bayang kerana bentuknya yang tegak dan kedudukan Matahari yang tepat di atasnya.

Sementara di Malaysia, fenomena ini akan berlaku pada tarikh yang sama namun masa berbeza kerana jarak waktu antara Malaysia dan Arab Saudi adalah 5 jam. Oleh itu di Malaysia, fenomena ini berlaku pada 28 Mei (5:16 petang) dan (16 Julai 5:28 petang). Namun sekiranya tahun lompat, ia berlaku pada 27 Mei (5:28 petang) dan 15 Julai (5:16 petang). Ketika fenomena ini berlaku di Malaysia, matahari sudah rendah di ufuk barat.

Setiap kawasan yang berada di antara Garisan Sartan (latitud 23.5 darjah utara) dan Garisan Jadi (latitud 23.5 darjah selatan) akan mengalami dua hari di mana matahari akan berada tepat di atas kawasan itu pada tengah hari dan Makkah adalah salah satu kawasan tersebut.

Hal ini terjadi kerana pergerakan ketara matahari yang berlaku sepanjang tahun. Namun masa ini, ia terjadi untuk setiap tempat akan berbeza mengikut koordinat. Peredaran bumi sekitar matahari pada paksi putarannya yang condong 23.5 darjah  mengakibatkan fenomena ini berlaku. Kesan fenomena ini juga boleh dilihat dalam perubahan musim panas, luruh, sejuk dan bunga di negara-negara tertentu.

 

Ketika berlakunya fenomena ini, kita boleh menyemak arah kiblat dengan hanya memerhatikan bayang-bayang objek yang bersudut tegak 90 darjah. Bayang-bayang objek tersebut akan menunjukkan arah kiblat yang tepat tanpa membuat sebarang kiraan.

Anda boleh menegakkan kayu pada tarikh tersebut dan pastikan kayu tersebut mestilah tegak dan lurus bersudut 90 darjah. Tandakan bayang-bayang kayu tersebut untuk menunjukkan arah kiblat. Selain kayu, bayang-bayang objek yang sedia ada juga boleh digunakan seperti tingkap, pintu, tiang rumah dan sebagainya namun pastikan juga ia bersifat tegak dan lurus sebelum menggunakannya.

Panduan membuat semakan arah kiblat

  • Dirikan satu objek yang lurus atau berpandukan objek lurus yang menegak seperti tiang atau bingkai tingkap untuk semak arah kiblat.
  • Tempat yang dipilih untuk tujuan ini tidak terlindung daripada sinaran matahari. Oleh kerana matahari berada di langit barat, bayang-bayang akan jatuh ke arah timur, arah kiblat ialah bayang-bayang yang menghadap ke barat.
  • Pastikan jam atau masa adalah tepat ketika melakukan penyemakan arah kiblat. Sila rujuk waktu SIRIM. (Layari : mst.sirim.my atau dail 1051)

Rencana ini disediakan oleh Unit Falak, Jabatan Mufti Negeri,  Negeri Sembilan

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  1  =  2