Felda, Agrobank perkenal Program Pembangunan Peneroka bernilai RM100 juta

 Felda, Agrobank perkenal Program Pembangunan Peneroka bernilai RM100 juta

KUALA LUMPUR, 15 Mac — Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menandatangani perjanjian kolaborasi model baharu Program Pembangunan Peneroka (PPP) bernilai RM100 juta dengan Agrobank untuk meningkatkan pendapatan warga peneroka.

Menurut kedua-dua pihak model baharu PPP itu akan melibatkan 100 koperasi peneroka dan 500 individu dengan usaha sama tersebut akan menumpukan pelaksanaan projek berskala besar dan bernilai tinggi.

Projek yang dipilih dan dirancang juga akan melibatkan kerjasama peserta industri yang berada di bawah Agrobank serta yang mencatatkan kejayaan dan rekod prestasi dalam bidang masing-masing.

Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh berkata setiap peneroka atau koperasi rancangan yang layak akan menerima geran daripada Felda untuk membiayai kos modal tertakluk kepada nilai maksimum RM20,000 berdasarkan penilaian Agrobank.

Beliau berkata kos operasi pula akan dibiayai oleh Agrobank dengan jaminan Felda.

“Secara keseluruhan, projek usaha sama ini menyasarkan penglibatan 100 koperasi peneroka dan 500 individu,” katanya kepada pemberita pada majlis pemeteraian perjanjian kolaborasi itu pada Isnin.

Beliau berkata dijangkakan setiap peneroka yang terlibat meraih pendapatan tambahan sebanyak RM1,000 hingga RM1,500 dalam bentuk dividen tahunan bagi projek koperasi manakala RM500 hingga RM1,000 sebulan bagi projek individu.

Setakat ini, projek yang telah disenaraikan adalah projek penanaman nanas MD2, cili secara fertigasi dan halia muda serta tanaman bernilai tinggi yang lain pada masa akan datang, katanya.

Sementara itu, Pengerusi Agrobank, Datuk Mustapha Buang berkata PPP membuka peluang baharu kepada komuniti peneroka bagi meneroka peluang pertanian berpotensi besar untuk menjana pendapatan lumayan.

“Agrobank secara konsisten terus komited dalam memacu pengamalan konsep pembangunan golongan sasaran dan komuniti setempat dengan menyediakan pembiayaan menyeluruh kepada komuniti tani.

“Ia merangkumi pembiayaan rantaian penuh seperti pembekalan hasil pertanian sehingga kepada pemprosesan dan penjualan produk pertanian kepada pengguna,” katanya.

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  3  =  1