Februari bulan sifar miskin tegar Wilayah Persekutuan

 Februari bulan sifar miskin tegar Wilayah Persekutuan

PETALING JAYA :“Sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan (SHWP) tahun ini, Februari ini diumumkan sebagai bulan sifar miskin tegar.

Selaras dengan itu, Kementerian Wilayah Persekutuan sedang menggerakkan program pemberian bantuan dengan menyasarkan golongan asnaf dan berpendapatan rendah.

Gambar ihsan Facebook Wilayahku

“Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, kita telah bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dalam menghulurkan sumbangan berbentuk pek makanan,” ucap Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Shahidan bersama Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) berikrar untuk membasmi golongan miskin tegar melalui aktiviti ekonomi yang dikhususkan kepada golongan terbabit.

Beliau berucap dalam sidang media khas sempena SHWP 2022 di Putrajaya pada Khamis.

Gambar ihsan Facebook Wilayahku

Hadir sama, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah, Ketua Setiausaha KWP, Datuk Seri Rosida Jaafar, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan (PL), Rithuan Mohd Ismail.

Tambah Shahidan objektif utama program tahun ini adalah untuk menyemarakkan acara sambutan yang melambangkan warga Wilayah Persekutuan (WP) sebagai harmoni, prihatin, maju dan sejahtera.

“Melalui penganjuran program-program SHWP 2022 ini, ia dapat mencetuskan semangat muhibah dan integrasi dalam kalangan masyarakat di pelbagai peringkat sekali gus dapat mengeratkan silaturahim seluruh warga Wilayah Persekutuan.

“Selain itu, ia dapat memupuk nilai patriotik dan menjadi pemangkin dalam membentuk generasi pemimpin yang tahu menghargai serta memelihara keharmonian di Wilayah Persekutuan,” ujarnya.

Beliau berharap pelaksanaan program ini membolehkan penglibatan rakyat secara umum serta memberi peluang kepada seluruh warga Wilayah Persekutuan untuk menyertai setiap aktiviti yang dianjurkan.

“Aktiviti yang dirancang sepanjang Februari ini sememangnya dapat merangsang seluruh warga Wilayah Persekutuan agar seiringan dengan konsep Keluarga Malaysia,” katanya

Farhana Ab Rahman

farhanabrahman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

49  +    =  57