Fazley Yaakob terima anugerah “Celebrity Entrepreneur Of The Year Seba 2021”

 Fazley Yaakob terima anugerah “Celebrity Entrepreneur Of The Year Seba 2021”

PETALING JAYA: Cef selebriti, penyanyi dan usahawan berjaya, Datuk Fazley Yaakob melakar sejarah tersendiri apabila dinobatkan sebagai penerima anugerah berprestij, Celebrity Entrepreneur Of The Year SME Entrepreneurship Business Award 2021 (SEBA 2021).

Meluahkan rasa bangga dan terharu, Fazley, 43, berkata, anugerah ini adalah satu peningkatan jenama perniagaan dan dirinya sendiri sepanjang hampir sedekad menceburi dunia seni dan cef.

Saya tidak menyangka sama sekali akan sebaris dengan nama-nama besar yang pernah menerima anugerah yang cukup berprestij ini.

“Walaupun tahun ini penuh dengan dugaan dan cabaran, namun anugerah ini adalah pelengkap kepada tahun ini.

“Keterlibatan dalam Gegar Vaganza 8, penjenamaan Suka Sucre yang lebih besar dan pelbagai lagi kejayaan disempurnakan dengan anugerah ini.

“Ini adalah penutup terbaik 2021 dan pembuka tahun 2022 yang sempurna untuk jenama-jenama saya seperti Suka Sucre Bistro, Minang Kapau, Mala Mala dan Bala’s Banana Leaf. Ini juga termasuk kolaborasi saya dengan jenama-jenama antarabangsa seperti Starbucks, Krispy Kreme dan tiga lagi jenama besar (satu melibatkan perubatan) yang akan diumumkan kelak,” katanya.

Datuk Fazley Yaakob ketika menerima anugerah Celebrity Entrepreneur Of The Year SME Entrepreneurship Business Award 2021 (SEBA 2021).

Majlis anugerah yang berlangsung dengan penuh gilang gemilang di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur pada 9 Disember itu turut menobatkan beberapa nama besar dalam dunia usahawan dan perniagaan sebagai penerima anugerah.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar dan Pengasas Yayasan Usahawan Malaysia (MyPreneurship), Nitesh Malani.

Anugerah Celebrity Entrepreneur Of The Year SME Entrepreneurship Business Award sebelum ini pernah disandang beberapa ikon seni antaranya, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Neelofa, Elfira Loy dan Shuib.

SEBA 2021 yang sudah memasuki tahun keenam dianjurkan oleh Yayasan Usahawan Malaysia (MyPreneurship) juga pernah menganugerahkan usahawan berjaya dan ternama lain seperti Datuk Seri Bernard Chandran, Tan Sri Dr. Tony Fernandes dan Vivy Yusof dalam kategori masing-masing.

Dalam pada itu, tambah Fazley, anugerah ini juga merupakan permulaan kepada mereka di luar sana yang mahu memulakan perniagaan khususnya dunia “food and beverages”.

“Saya telah banyak membantu usahawan muda untuk membina perniagaan dan menjana pendapatan menerusi perniagaan F&B dari rumah, gerai dan restoran juga.

“Saya menganggap kejayaan ini sebagai titik pertemuan untuk kita sama-sama meningkatkan jenama perniagaan kita,” katanya.

Fazley atau nama sebenarnya, Ahmad Fadzli Yaakob mula menceburkan diri dalam dunia seni tanah air sekitar tahun 1995 dan berjaya meletakkan diri sebagai penyanyi lelaki popular sehingga sekarang menerusi beberapa album dan lagu malar segar antaranya Asmara Ini, Bila April dan Cerita Asmara.

Penyandang gelaran Masterchef Selebriti Malaysia Pertama yang dimenangi pada tahun 2012 ini juga pernah menerima pelbagai anugerah dalam dan luar negara atas usaha tidak henti memartabatkan masakan serta budaya Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Mengemudi empayar perniagaan menerusi rantaian restoran, Suka Sucre Bistro, Minang Kapau, Mala Mala dan Bala’s Banana Leaf, Fazley juga berkolaborasi dengan jenama-jenama tempatan dan antarabangsa seperti Starbucks, Krispy Kreme serta banyak lagi.

Izz Fizz

izz@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

88  +    =  92