Fat Full ditawar sertai Parti Bangsa Malaysia, namun selesa dalam BERSATU

 Fat Full ditawar sertai Parti Bangsa Malaysia, namun selesa dalam BERSATU

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pemanis, Dr. Chong Fat Full

JOHOR BAHRU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pemanis, Dr. Chong Fat Full mengakui ada menerima tawaran untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia lebih dua bulan lalu.

Namun, beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata, hingga kini beliau masih bersama-sama BERSATU kerana merasa sesuai dengan perjuangan parti itu.

“Saya baru dua minggu diberi watikah pelantikan pada 18 November lalu untuk menyertai MPT, takkan saya nak keluar (BERSATU) pula.

“Ada tawaran diberi beberapa bulan lalu, sangat awal ketika itu. Saya ada berbincang dengan Presiden parti (Tan Sri Muhyiddin Yassin) berhubung perkara ini dan semua orang ada pandangan mereka sendiri.

“Ada yang kata idea tidak betul, ada yang kata masanya tidak betul (untuk menubuhkan parti politik baharu) tetapi bagi pihak saya, saya selesa dengan BERSATU,” katanya selepas melawat Pasaraya Lotus Setia Tropika, di sini hari ini.

Parti Bangsa Malaysia tersebut dikatakan telah diluluskan Pendaftar Pertubuhan (RoS) pada 29 Oktober lalu dan didakwa bakal dianggotai bekas wakil rakyat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Antara nama yang dikaitkan dengan parti berkenaan termasuk Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin; Ahli Parlimen Julau, Larry Soon @ Larry Sng, Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr. Xavier Jayakumar dan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon.

Mengulas lanjut, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor itu mengakui mempunyai pendirian yang kukuh dan jelas dalam berpolitik.

Fat Full (tengah) melakukan tinjauan harga barang keperluan asas semasa melawat Pasaraya Lotus Setia Indah Tropika.

“Saya perlu memilih satu platform dan tidak bertukar-tukar. Bukan sekejap ke kiri sekejap ke kanan,” katanya yang juga bekas wakil rakyat PKR.

Beliau juga tidak pernah membuat sebarang  ‘permintaan’ sampingan untuk menyertai mana-mana parti politik kerana apa yang penting dirinya gembira dapat berkhidmat kepada rakyat menerusi platform sedia ada.

“Tawaran diterima daripada lain-lain parti memang ada, mereka bertanya adakah saya berminat untuk menyertai, ayatnya mudah sahaja tiada tawaran lain, coklat pun tiada,” ujarnya.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

50  +    =  57