• Friday, 18 June 2021, 2:32 am

FAMA pasarkan lebih 300 tan labu 145 pekebun

 FAMA pasarkan lebih 300 tan labu 145 pekebun

Oleh Mohd Fikri Mie

PEKAN, 29 Mei – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang menyasarkan untuk membantu memasarkan lebih 300 tan labu hasil tanaman 145 pekebun di tiga kampung daerah ini.

Pengarahnya Noh Nik Wan berkata, musim lalu pihaknya hanya dapat membantu memasarkan kira-kira 250 tan labu manis atau labu emas 868 membabitkan kawasan tanaman seluas lebih 170 hektar.

Menurutnya, faktor pengeluaran buah yang bertambah selain kesanggupan pekebun menjual hasil kepada FAMA musim ini membolehkan lebih banyak pihaknya dapat membantu memasarkan pengeluaran hasil pertanian berkenaan.

Pengarah FAMA Pahang, Noh Nik Wan meneliti buah labu manis hasil tanaman pekebun Kampung Pandan.

Katanya, semua 145 pekebun Kampung Pandan, Kampung Serun dan Kampung Merchong adalah peserta ladang
kontrak pemasaran FAMA Pahang, yang setiap tahun hasil tanaman mereka dijual kepada FAMA menggunakan sistem harga semasa.

“Pada musim kali ini setiap dua minggu Pusat Khidmat Pemasaran FAMA Kuantan
menerima 10 hingga 11 tan buah labu untuk dipasarkan kepada peruncit termasuk pemborong dalam dan luar Pahang.

“Setiap pekebun ladang kontrak pemasaran dibekalkan dengan bekas jaring hijau untuk mengisi buah labu.Setiap satu diisi dengan buah seberat 20 kilogram yang akan dipindahkan ke lori,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas turut sama turun padang menyaksikan aktiviti pemasaran buah labu oleh beberapa pekebun di Kampung Pandan dan Kampung Merchong, di sini.

Hadir sama Pegawai FAMA Daerah Pekan, Noor Hasbah Omar dan Pengurus Pusat Khidmat Pemasaran FAMA Kuantan, Faris Abdullah.

Kakitangan FAMA Pahang memindahkan buah labu hasil pekebun Kampung Serun untuk dihantar kepada pemborong.

Beliau menambah, aktiviti pemasaran buah labu di daerah dijangka berterusan selagi mendapat permintaan daripada pekebun kerana program tanaman pokok berkenaan dilakukan secara berperingkat bagi mengelak berlaku lambakan buah dalam satu masa.

Noh berkata, selain membantu aktiviti pemasaran, pihaknya turut menyediakan bantuan benih, khidmat nasihat serta jadual menanam bermula awal tahun.Selepas selesai mengusaha tanaman labu kebanyakan pekebun akan menanam padi di atas kawasan sama.

“FAMA Pahang akan terus berusaha membantu golongan pekebun terutama membabitkan aktiviti pemasaran dalam memastikan mereka tidak berhadapan masalah hingga menyebabkan berlaku kerugian.

“Saya menasihatkan kepada pekebun yang berhadapan masalah pemasaran hasil pertanian supaya dapat menghubungi FAMA Pahang bagi diselesaikan masalah dihadapi,” katanya.

Sementara itu, bagi Azlina Abu Bakar, 34 yang mengusahakan tanaman labu manis lebih 2 hektar berkata, tanpa bantuan FAMA dia mungkin menanggung kerugian setiap tahun.

“Musim kali ini saya mampu mengeluarkan hasil kira-kira 25 tan buah labu, hampir semua buah dijual kepada FAMA pada harga semasa,” katanya yang musim kedua menanam labu manis.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *