FAMA Pahang sumbang bantuan kepada 300 penduduk Kampung Ulu Dong

 FAMA Pahang sumbang bantuan kepada 300 penduduk Kampung Ulu Dong

Ahli Dewan Undangan Negeri Dong, Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin (tengah) dan Timbalan Ketua Pengarah Operasi FAMA, Mohamad Mustahapa Awang melihat hasil pertanian keluaran penduduk Ulu Dong selepas menyampaikan sumbangan pisang dan sayuran kepada penduduk oleh FAMA Pahang. Foto WMY/Mohd Fikri Mie

RAUB, 26 Jun — Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang menyumbang pisang serta sayuran kepada 300 penduduk tiga mukim di Ulu Dong, di sini yang terkesan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, hari ini.

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dibawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) Prihatin itu bertujuan meringankan beban masyarakat luar bandar di daerah ini.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi FAMA, Mohamad Mustahapa Awang berkata, sumbangan membabitkan sebanyak 650 kilogram (kg) pisang berangan, timun (335kg), labu msnis (151kg) dan peria (100kg).

Katanya, sebahagian hasil tani yang disumbangkan kepada penduduk merupakan produk keluaran petani di Ulu Dong yang terkenal dengan keluaran pisang berangan berkualiti tinggi untuk bekalan penduduk negeri ini.

Menurutnya, program Mafi Prihatin antara usaha dilakukan FAMA seluruh negara bagi membantu masyarakat di bandar dan luar bandar yang terkesan berikutan PKP 3.0, terdapat dikalangan mereka tidak dapat bekerja termasuk diberhentikan kerja.

“Program Mafi Prihatin turut membabitkan sumbangan pelbagai jenis buah-buahan tempatan kepada binatang belaan dibawah selian Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

“Sebagai contoh minggu lalu FAMA Pahang menyumbang sebanyak 2.5 tan pisang nangka dan labu manis untuk makanan 32 gajah yang terdapat di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah Lanchang, Temerloh.

Pegawai FAMA melihat pisang yang disumbangkan kepada penduduk Ulu Dong. Foto WMY/Mohd Fikri Mie

“Sebelum itu mereka turut menyumbang lebih 2 tan pisang, nanas, keledek dan labu manis kepada empat individu yang terbabit dengan pembiakbakaan dalam kurungan komersial dibawah Perhilitan Pahang di Temerloh, Pekan, Lipis dan Bentong yang memiliki pelbagai haiwan eksotik┬áseperti landak raya, rusa dan pelanduk,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan pisang dan sayuran kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Dong, Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin untuk diagihkan kepada penduduk di Kampung Pamah Rawas, Ulu Dong, di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah FAMA Pahang, Noh Nik Wan. Mohamad Mustahapa berkata, pekebun luar bandar yang berhadapan masalah pemasaran hasil kebun mereka disebabkan PKP boleh berhubung dengan FAMA daerah dan negeri.

Sementara itu Shahiruddin berkata, dia bagi pihak penduduk tiga kampung di Ulu Dong mengucapkan terima kasih kepada yang prihatin dengan kesulitan penduduk.

“FAMA perlu terus menghulurkan bantuan dalam usaha membela nasib penduduk luar bandar yang terkesan dengan PKP 3.0, buah dan sayuran merupakan makanan yang diperlukan setiap hari,” katanya.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  29  =  32