• Sunday, 20 June 2021, 3:50 pm

FAMA janji pasar 200 tan tembikai empat pekebun

 FAMA janji pasar 200 tan tembikai empat pekebun

FAMA Pahang membantu memasarkan 200 tan buah tembikai keluaran empat pekebun di Kampung Ubai

KUANTAN, 5 Jun — Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang membantu memasarkan lebih 200 tan tembikai jenis boci keluaran empat pekebun di Kampung Ubai, di sini.

Pengarahnya Noh Nik Wan berkata, empat pekebun terbabit merupakan peserta ladang kontrak pemasaran FAMA yang hampir setiap tahun terbabit dengan projek pertanian berkenaan.

Pengurus Pusat Khidmat Pemasaran FAMA Kuantan, Faris Abdullah (kiri) menerima surat penjanjian jual beli tembikai daripada pekebun Husaini Abdullah pada Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli Tembikai antara FAMA dengan pekebun di Kampung Ubai.

Menurutnya, aktiviti pemasaran dilakukan secara berperingkat bermula hari ini hingga semua hasil habis dituai, difahamkan terdapat beberapa pemborong luar Pahang yang akan datang untuk membeli sebahagian tembikai.

Katanya, sudah menjadi tanggungjawab FAMA membantu pekebun tembikai di Kampung Ubai untuk memasarkan hasil kebun mereka terutama sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila aktiviti jualan begitu terbatas.

“Fasa pertama pemasaran bulan lalu sebanyak lima tan tembikai diterima daripada pekebun, pengeluaran buah yang terhad menyebabkan tidak banyak dapat FAMA membantu memasarkan hasil.

“Namun pada fasa kedua pengeluaran kali ini sejak awal lagi empat pekebun telah bersetuju untuk memasarkan lebih 200 tan tembikai kepada FAMA,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas penganjuran Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli Tembikai antara FAMA dengan empat pekebun di Kampung Ubai, di sini kelmarin.

FAMA Pahang diwakili Pengurus Pusat Khidmat Pemasaran FAMA Kuantan, Faris Abdullah.

Noh berkata, untuk aktiviti pemasaran kali ini FAMA menawarkan harga semasa pada pekebun yang dianggap masih mampu memberi keuntungan, pekebun juga diberi peluang untuk menjual pada pemborong luar yang berminat.

Pekebun Husaini Abdullah berkata, dia mengusahakan tanaman tembikai jenis boci seluas dua hektar dan kira-kira 25 tan buah dapat dihasilkan pada musim kali ini, kebanyakan buah dipasarkan kepada FAMA.

“Tanpa sokongan FAMA sukar untuk pekebun memasarkan buah tembikai pada musim kali ini apabila pemborong tidak dapat datang ke kebun untuk membeli hasil, aktiviti jualan tepi Jalan Kuantan-Pekan dekat Kampung Ubai juga tidak dapat dilakukan.

“Pekebun reda dengan apa yang berlaku kini, hanya FAMA sahaja tempat menagih simpati untuk memasarkan hasil buah tembikai,” katanya yang sebelum ini turut menanam labu manis.

Mohd Fikri Mie

http://wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *