FAMA catat jualan RM312.51 juta Mei-September

 FAMA catat jualan RM312.51 juta Mei-September

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mencatat hasil jualan bernilai RM312.51 juta

KUALA LUMPUR, 27 Sept — Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mencatat hasil jualan bernilai RM312.51 juta menerusi kesemua rangkaian outlet seliaan lembaga itu dari 25 Mei hingga 24 September lalu.

Katanya, 54 Pasar Segar Terkawal (PST) di seluruh negara membabitkan 3,776 usahawan tani merekodkan nilai jualan sebanyak RM124.02 juta dalam tempoh berkenaan.

“Bagi Johor, nilai jualan berjumlah RM58.6 juta sepanjang tempoh fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan enam PST di negeri ini membabitkan 124 usahawan tani berjaya merekodkan nilai jualan RM23.3 juta,” katanya dalam kenyataan.

FAMA berkata, sehingga kelmarin, program Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Prihatin memanfaatkan seramai 38,026 orang di 200 lokasi seluruh negara dengan jumlah keseluruhan sebanyak 72.97 metrik tan makanan disalurkan.

Katanya, di Johor, pelaksanaan program berkenaan memberikan manfaat kepada 3,480 penerima di 14 lokasi, sekali gus membantu 97 usahawan memasarkan 16.3 metrik tan buah-buahan dan sayur-sayuran dengan jumlah peruntukan sebanyak RM 34,650.

Kata FAMA, penerima terbabit termasuk petugas barisan hadapan di pusat pemberian vaksin (PPV), sekatan jalan raya (SJR), penduduk di Kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), badan kebajikan dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Hari ini kita memberikan sumbangan kepada 224 penerima terdiri daripada asnaf dan Orang Asli di daerah Kota Tinggi, membabitkan dua tan sayur-sayuran dan buah-buahan,” katanya.

FAMA berkata, sebanyak 100 pasar tani beroperasi di seluruh negara selaras dengan kelonggaran diberikan Majlis Keselamatan Negara (MKN). – BERNAMA

suraya ali

suraya@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

17  +    =  25