FAMA bantu pasarkan 4.2 tan timun pekebun

 FAMA bantu pasarkan 4.2 tan timun pekebun

FAMA membantu memasarkan 4.2 tan timun pekebun di Bera berikutan harga jatuh.

KUANTAN, 14 Ogos – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang membantu memasarkan sebanyak 4.2 tan timun hasil tanaman seorang pekebun di Bera.

Pengarah FAMA Pahang, Noh Nik Wan berkata, usaha membantu memasarkan hasil pertanian berkenaan dilakukan berikutan harga timun kini jatuh kepada 30 sen sekilogram berbanding lebih RM1.50 sebelum ini.

Katanya, Pejabat FAMA Daerah Bera telah tiga kali menerima timun daripada pekebun terbabit sepanjang minggu ini, pertama sebanyak dua tan diikuti 1.4 tan dan hari ini 0.8 tan diterima.

Menurutnya, FAMA berbuat demikian bagi membantu mengurangkan kerugian yang terpaksa ditanggung pekebun terbabit berikutan harga timun yang terlalu rendah hingga menyebabkan dia menanggung kerugian lebih RM20,000.

“Difahamkan pekebun terbabit mengusahakan kebun sayuran jenis buah secara fertigasi
di tiga kawasan iaitu di FELDA Kumai, FELDA Sebertak dan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Tebing Tinggi, di sini membabitkan tanaman timun, petola dan peria.

“Pengeluaran timun di FELDA Kumai sudah berakhir dan kini hanya membabitkan timun di FELDA Sebertak sahaja membabitkan tanaman lebih 4,000 pokok,” katanya pada Jumaat.

Sebelum ini Wacana.my menyiarkan berita pekebun Mohd Azizol Warman, 37, yang terpaksa memusnahkan 2,000 pokok timun yang ditanam di FELDA Kumai berikutan harga jualan yang terlalu rendah iaitu 30 sen sekilogram.

Mohd Azizol yang berpengalaman lebih lapan tahun dalam bidang pertanian menanggung kerugian kira-kira RM20,000 disebabkan kejatuhan harga produk berkenaan hingga memaksa dia mengambil keputusan mengagihkan timun secara percuma kepada penduduk setempat.

Noh berkata, pihaknya akan terus memantau perkembangan semasa projek pertanian yang diusahakan oleh Mohd Azizol dan beberapa pekebun lain terutama membabitkan pasaran hasil pertanian yang dikeluarkan bagi mengelak kerugian terpaksa ditanggung.

Sementara itu Mohd Azizol, hanya ucapan terima kasih dapat diberikan kepada FAMA yang tampil membantu memasarkan hasil tanaman timun keluaran kebun di FELDA Sebertak membabitkan sebanyak 2,000 pokok.

“Saya dan beberapa pekebun lain bersyukur dengan campur tangan FAMA dalam membantu memasarkan timun yang kini harga jualan hanya 30 sen sekilogram. Setakat ini sebanyak 4.2 tan timun sudah diambil agensi berkenaan.

“Saya berharap FAMA dapat terus membantu memasarkan timun pekebun secara berterusan kerana kebun saya TKPM Tebing Tinggi membabitkan sebanyak 4,000 pokok akan mengeluarkan hasil tidak lama lagi,” katanya.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  2  =  2