• Sunday, 20 June 2021, 7:59 am

FAMA bantu pasarkan 1,500 kg keledek

 FAMA bantu pasarkan 1,500 kg keledek

PEKAN, 10 Jun – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang membantu memasarkan 1,500 kilogram keledek hasil tanaman pekebun Orang Asli di Kampung Air Hitam, di sini.

Pengarahnya Noh Nik Wan berkata, ini kali pertama pihak membantu memasarkan hasil pertanian berkenaan selepas diminta berbuat demikian oleh pekebun terbabit yang mengusahakan tanaman itu diatas tanah seluas 0.8 hektar.

Menurutnya, FAMA perlu membantu memasarkan keledek keluaran pekebun terbabit bagi mengelak pekebun berkenaan menanggung kerugian disebabkan masalah pasaran berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP).

Proses mengred keledek sebelum dipasarkan kepada FAMA Pahang di Kampung Air Hitam.

“Kita menggunakan sistem harga semasa bagi pasaran keledek yang dibekalkan selepas mendapat persetujuan daripada kedua belah pihak, ia membabitkan tanaman keledek jenis putih madu dan oren madu atau jepun yang mengambil masa untuk matang kira-kira tiga bulan.

“Pekebun terbabit turut
dibekalkan dengan bekas jaring hijau untuk mengisi hasil sebelum dimuatkan kedalam kenderaan pacuan empat FAMA” katanya, di sini semalam.

Beliau berkata, aktiviti pemasaran diuruskan oleh Pengurus Pusat Khidmat Pemasaran FAMA Kuantan,

Faris Abdullah yang dipantau oleh Pegawai FAMA Daerah Pekan, Noor Hasbah Omar.
Noh berkata, pihaknya akan terus berusaha membantu golongan pekebun terutama membabitkan aktiviti pemasaran dalam memastikan mereka tidak berhadapan masalah hingga menyebabkan berlaku kerugian.

Tambahnya lagi, kerjasama Unit Korporat FAMA Pahang yang tampil membantu menyampaikan maklumat peranan FAMA kepada petani setiap kali program pemasaran dapat meluaskan pengetahuan kumpulan sasar berkenaan.

Pegawai FAMA Daerah Pekan, Noor Hasbah Omar memantau proses memilih keledek untuk dipasarkan kepada FAMA Pahang di Kampung Air Hitam.

Pekebun Amran Juara, 41, berkata dia berterima kasih pada FAMA yang tampil membantu memasarkan sebahagian hasil tanaman keledeknya, tanpa bantuan agensi berkenaan kemungkinan kerugian terpaksa ditanggung.

‘Ini kali pertama saya dan empat saudara mengusahakan tanaman keledek dalam kawasan kebun kelapa sawit, sebanyak RM3,500 modal dikeluarkan.

“Selepas ini kami mungkin akan mengusahakan tanaman labu manis yang difahamkan mendapat permintaan menggalakan daripada pengguna,” katanya

Mohd Fikri Mie

http://wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *