Fama bantu pasar 10.5 tan roselle

 Fama bantu pasar 10.5 tan roselle

ROMPIN, 14 November 2021 – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) membantu memasarkan sebanyak 10.5 tan buah roselle tahun ini yang ditanam oleh 46 pekebun terdiri peserta ladang kontrak di dua kawasan di daerah ini.


Pengarah Fama Pahang, Saiful Sadri berkata, selain untuk bekalan pusat memproses makanan Fama Rengit, Johor, buah roselle keluaran pekebun Kampung Desa Murni dan Kampung Tebu Hitam, di sini juga turut di eksport ke Australia.


Katanya, nilai keseluruhan jualan produk pertanian bertaraf antarabangsa itu tahun ini sebanyak RM42,000 dan jumlah berkenaan jauh berkurangan berbanding beberapa tahun sebelum ini berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan pekebun mengurangkan keluasan tanaman.


Menurutnya, Roselle keluaran daerah ini begitu terkenal dengan kualitinya hingga mampu menembusi pasaran antarabangsa, kesungguhan dan displin tinggi pekebun membolehkan produk berkenaan terus kekal berkualiti.


“Kita akan terus berusaha membantu pekebun di daerah ini dalam memastikan mereka terus mengusahakan tanaman roselle selain beberapa tanaman kontan lain seperti keledek, kacang tanah dan jagung.


“Pelbagai kemudahan disediakan kepada pekebun antaranya seperti peralatan, pengangkutan, kursus dan latihan,” katanya.

Pengarah Kanan Fama, Abd Rahman Mahmood (dua dari kanan) Pengarah Fama Pahang, Saiful Sadri (dua dari kiri) ketika melawat kebun roselle di Kampung Desa Murni.


Beliau berkata demikian ketika mengiringi lawatan Pengarah Kanan Fama, Abd Rahman Mahmood ke Pusat Pengumpulan Ladang Kampung Desa Murni, di sini, semalam.


Saiful berkata, latihan dan kursus diberikan kepada pekebun bertujuan memberi peluang kepada mereka terbabit menghasilkan produk hiliran yang berasaskan roselle seperti jus dan halua.


“Dua tahun lalu lebih 24 tan buah roselle dihasilkan pekebun di daerah ini, jumlah berkenaan berkurangan kepada 9 tan tahun dan meningkat kepada 10.5 tan tahun ini, penurunan keluaran disebabkan PKP.


“Tahun depan saya yakin keluaran roselle daerah ini akan bertambah bagi memenuhi permintaan tempatan dan antarabangsa,” katanya.

WMY

WMY@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

48  −    =  42