FAMA bantu beli 100 tan tembikai empat pekebun

 FAMA bantu beli 100 tan tembikai empat pekebun

Aktiviti belian tembikai pekebun oleh FAMA Pahang terus ke ladang di Kampung Ubai.

Oleh Mohd Fikri Mie

KUANTAN, 27 Mei – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang bertindak membeli lebih 100 tan tembikai keluaran empat pekebun di Kampung Ubai, di sini dan Muadzam Shah, Rompin.

Pengarahnya, Noh Nik Wan berkata, selain tembikai merah dan kuning pihaknya turut membeli tembikai ‘Apollo’ dan tembikai susu yang dikeluarkan tiga pekebun di Muadzam Shah.

Menurutnya, aktiviti belian menggunakan sistem harga semasa ditetapkan FAMA dilakukan secara berperingkat bermula awal April lalu hingga kini dan inisiatif itu dilakukan selagi ada permintaan daripada pekebun.

“Tujuan utama FAMA membeli hasil ladang pekebun bertujuan memastikan petani tidak mengalami kerugian apabila produk keluaran mereka keluar dengan jumlah yang banyak secara serentak seterusnya berlaku masalah pasaran termasuk kejatuhan harga.

“Kebanyakan pekebun terdiri daripada peserta ladang kontrak FAMA yang mengadakan perjanjian belian hasil kebun mereka apabila keadaan memerlukan,” katanya, di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya tidak memaksa peserta ladang kontrak perlu menjual semua hasil ladang mereka kepada FAMA, pekebun boleh membuat pilihan mengikut tawaran harga yang lebih tinggi dan memuaskan.

FAMA Pahang membuat belian tembikai pekebun di Kampung Ubai

Noh berkata, setiap tahun FAMA bertindak membeli tembikai keluaran pekebun di negeri ini, usaha berkenaan dilakukan secara berterusan dalam memastikan tidak berlaku lambakan hasil hingga merugikan golongan pekebun.

Mengenai dakwaan seorang pekebun Kampung Ubai yang tidak dapat memasarkan tembikai mereka beliau berkata, peringkat awal pekebun itu tidak berminat menjual hasil kebunnya kepada FAMA disebabkan faktor harga, namun kini isu berkenaan telah diselesaikan selepas dia bersetuju menjual sebahagian hasil kepada FAMA.

“Kita membuat dua kali belian sebanyak 3 tan menggunakan sistem harga semasa yang dipersetujui kedua belah pihak, FAMA akan terus membeli hasil petani Kampung Ubai sekirannya diperlukan,” katanya.

Sementara itu pekebun, Ain Izzuddin Mohd Ghazali berkata, dia berpuas hati apabila dapat menjual tembikai keluaranya kepada FAMA Pahang dengan harga semasa.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada FAMA yang tampil membantu membeli sebahagian tembikai jenis boci yang dikeluarkan, tanpa sokongan FAMA kerugian lebih besar terpaksa ditanggung berikutan pasaran yang terhad selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara,” katanya yang lebih tiga tahun mengusahakan tanaman tembikai di Kampung Ubai.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *