Faizal ketuai BERSATU runding pembahagian kerusi dalam PN

 Faizal ketuai BERSATU runding pembahagian kerusi dalam PN

Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu

Oleh Mohd Kamal Ahmad

IPOH, 26 Feb: Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, akan mengetuai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam rundingan dengan rakan parti dalam Perikatan Nasional (PN) mengenai pembahagian kerusi calon bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 akan datang.

Perkara itu, menurut Faizal, telah diputuskan oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden BERSATU.

Bercakap kepada media selepas melancarkan pusat perkhidmatan di Kampung Simee di sini, beliau berkata semua parti dalam PN mempunyai hak untuk menyatakan Hasrat untuk meletakkan calonnya di mana-mana kerusi pada PRU15 kelak.

Faizal turut menyangggah dakwaan yang BERSATU cuba membolot kerusi yang diperuntukkan dan belum pun mengadakan sebarang rundingan dengan UMNO mengenai pengagihan kerusi tersebut.

“Jika ada dakwaan BERSATU kononnya hendak lebih banyak kerusi, ini adalah tidak benar sebab keputusan belumpun dibuat,” katanya.

PN menaungi BERSATU, PAS, STAR dan SAPP sebelum yang terbaharu GERAKAN diterima sebagai parti komponen pada 11 Februari lalu selepas memohon untuk menyertai PN dibuat pada 2020.

Dalam perkembangan lain, Faizal mengesahkan sedia menimbangkan tawaran jawatan Pengerusi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) namun masih belum membuat keputusan untuk menerimanya.

“Terus terang, ketika ini saya mahu memberi tumpuan kepada kerja-kerja parti bagi membolehkan BERSATU bersedia untuk pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Datuk Wan Saiful Wan Jan

Di Kuala Lumpur, mengulas perkembangan itu, Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan menegaskan, Faizal mempunyai pengalaman dalam hal ini dan pengumuman tersebut adalah satu perkembangan baik bagi PN.

Beliau berkata, pembahagian kerusi adalah perkara penting yang memerlukan ketokohan individu seperti Faizal.

“Keperibadian beliau juga tepat kerana beliau disenangi oleh semua pemimpin dalam gabungan PN.

“Dengan pengumuman ini, maka proses rundingan mengenai pembahagian kerusi boleh bermula,” katanya.

Wan Saiful turut menafikan laporan sebuah portal yang menyebut Faizal akan mengetuai rundingan bagi pihak PN sebaliknya Timbalan Presiden itu dilantik oleh Muhyiddin untuk mengetuai BERSATU dalam rundingan bersama komponen PN kelak.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

2  +  4  =