Fahami vaksin COVID-19 menerusi perspektif Islam

 Fahami vaksin COVID-19 menerusi perspektif Islam

Oleh Iqhram Ahmad

KUALA LUMPUR, 26 Jan: Walaupun Malaysia sedang menunggu bekalan pertama vaksin COVID-19 yang dijangka pada Februari ini, masih terdapat beberapa pihak yang mempertikai mengenai status halal dan keselamatan vaksin berkenaan.

Malaysia akan menerima bekalan vaksin hasil daripada perjanjian bersama syarikat perubatan dari Amerika Syarikat iaitu Pfizer dan AstraZeneca dari United Kingdom.

Pihak ini seolah-olah mempertikaikan langkah yang diambil kerajaan walaupun ia dilihat sebagai tindakan yang terbaik dalam usaha menangani pandemik ini.

Dakwaan yang dikeluarkan pasti akan menimbulkan perasaan was-was atau mempengaruhi kalangan orang ramai terrmasuk umat Islam.

Antara dakwaan yang sentiasa dihebahkan oleh golongan anti-vaksin ini adalah unsur bahan yang digunakan adalah haram bagi umat Islam seperti DNA khinzir dan rancangan syarikat perubatan bagi mengaut untung.

Terbukti masih ramai di kalangan rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam yang tidak tahu mengenai kaedah Fiqh Islami yang khusus dalam isu bahan di dalam vaksin yang dikenali sebagai Istihlak dan Istihalah.

Menurut pendakwah bebas, Ustaz Ismail Putra Ibrahim, 50, penerangan mengenai isu ini telah lama dibincangkan oleh pakar agama dan ulama.

“Saya ingat perkara ini sudah lama selesai kerana terdapat banyak fatwa yang boleh dirujuk telah dikeluarkan,” katanya.

Menurut beliau, umat Islam boleh mengaplikasikan konsep Istihalah dan Istihak di dalam fatwa apabila menghadapi isu halal sesuatu vaksin.

“Istihalah ialah proses semula jadi yang memberikan kesan perubahan hukum (dari haram kepada halal). Ini kerana perubahan zat dalam bahan dari sumber haram yang telah berubah struktur kimia dan ciri fizikalnya kepada suatu sifat serta unsur yang berlainan, maka hukumnya adalah halal dan suci.

“Konsep Istihlak pula ialah bahan haram yang sedikit bercampur dengan bahan yang suci berlipat kali ganda sehingga menghilangkan sifat dan ciri-ciri asal yang terkandung dalam bahan itu. Bahan berkenaan telah rosak sifat dan ciri asalnya, walaupun zatnya masih kekal seperti mencampurkan setitis arak ke dalam air. Istihlak mempunyai kesan hukum sama seperti Istihalah,” katanya ketika dihubungi wacana.my.

Ustaz Ismail berkata, penjelasan beliau adalah pandangan mazhab Hanafi dan dipersetujui oleh ulama tersohor Sheikh Yusuf Al-Qaradawi dan Sheikh Wahbah Al-Zuhaili.

Tambah beliau, terdapat dua kategori hukum jika vaksin yang dihasilkan mempunyai unsur yang haram.

“Jika terdapat vaksin alternatif yang suci dan diyakini statusnya, maka kita tidak boleh menggunakan vaksin dengan unsur haram.

“Selain itu, jika keadaan darurat dan tiada alternatif suci yang lain, maka ia dibenarkan kerana memelihara nyawa atau hifz al-nafs,” katanya.

Beliau yang juga seorang guru pusat tahfiz al-Quran turut mengatakan tiada isu syariah jika vaksin dihasilkan tidak memudaratkan pengguna.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan pakej bantuan kira-kira RM15 bilion iaitu Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI).

Objektif pakej berkenaan adalah untuk memerangi wabak COVID-19, memelihara kesejahteraan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.

Menerusi pakej ini, program vaksinasi akan berjalan secara berperingkat selama 12 bulan Mac dan lebih 80 peratus atau lebih 25 juta penduduk Malaysia dijangka menerimanya.

Bagaimanapun, rakyat tetap perlu mengambil langkah pencegahan dan menjaga SOP sebagai langkah berjaga-jaga walaupun sudah ada kewujudan vaksin virus tersebut.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

47  +    =  53