Fahami erti sebenar jihad, syahid & syurga

 Fahami erti sebenar jihad, syahid & syurga
Oleh Datuk Wira Dr Ismail Ibrahim

 

DUNIA sekarang menyaksikan umat Islam berperang dan membunuh sesama sendiri. Seolah-olah agama membenarkan peperangan dan pembunuhan. Golongan yang mengaku berjihad atas nama Islam, atas nama negara Islam, atas nama tentera Khalifah juga, akan memancung kepala sesama Islam.

Hal ini amat mengelirukan. Islam tidak membenarkan pembunuhan kecuali di dalam kes-kes tertentu yang amat kecil perangkaannya. Malah di antara kesalahan pertama yang diharamkan oleh Islam ialah perbuatan manusia zaman jahiliah yang membunuh anak-anak mereka yang baru dilahirkan.

Al-Quran di dalam surah Al-An’am (6) ayat 151 menerangkan dengan jelas di antara perkara yang diharamkan ialah perbuatan membunuh anak-anak. Maka Allah menerangkan bahawa, sekiranya pembunuhan bayi itu dilakukan kerana takut tidak dapat diberikan makanan kepada mereka, maka Allah SWT yang memberikan rezeki kepada anak-anak itu. Malah, Allah jugalah yang memberikan rezeki kepada mereka yang membunuh anak-anaknya itu.

Dengan ini ternyata, jiwa dan nyawa manusia itu adalah sesuatu yang suci dan perlu dipelihara. Sebab itulah Allah melarang manusia dengan sekeras-kerasnya supaya jangan membunuh orang dan jangan pula membunuh diri sendiri.

Malah ajaran agama menuntut manusia memelihara nyawanya. Sehinggakan, jika seseorang itu akan mati jika dia tidak memakan makanan yang haram seperti bangkai, maka dia hendaklah memakannya untuk memelihara kelangsungan nyawanya.

 


“Oleh itu, belia dan angkatan muda Islam haruslah mempelajarai serta memahami dengan semasak-masaknya isu ini dari perspektif Islam. Tujuan supaya kita tidak terpengaruh degan pengajaran yang hanya akan memerangkap mereka dalam dosa atas gambaran syahid dan syurga, sedangkan perbuatan yang dilakukan adalah berlawanan dengan konsep syahid, jihad, dan janji syurga yang sebenarnya.”


 

Jadi apakah nyawa manusia yang begini suci dan sewajibnya di pelihara, akan begitu mudah pula dihapuskan seperti yang berlaku di dalam masyarakat manusia pada hari ini? Ini termasuk oleh orang Islam sesama Islam sendiri, yang secara sewenang-sewenangnya membunuh dan mengambil nyawa orang lain begitu mudah sekali. Malah, membunuh diri sendiri untuk membunuh orang lain seperti yang dilakukan oleh pembunuh beranai mati sekarang ini.

Al-Quran banyak sekali menerangkan kepada manusia bahawa pembunuhan adalah haram dan ditegah, kecuali di dalam beberapa situasi yang tertentu. Hal inilah yang sangat perlu difahami oleh umat Islam sendiri, terutamanya di dalam masyarakat Islam sekarang ini yang telah menjadi amat lumrah bahawa segala pertikaian di antara mereka haruslah diselesaikan dengan peperangan, walau pun peperangan itu dilakukan tanpa hak dan justifikasi yang diizinkan oleh syarak.

Pada zaman permulaan Islam, ketika Rasulullah SAW mulai menyeru manusia untuk menganut agama tauhid, mengesakan Allah dan melakukan amalan yang dibawa oleh Islam, Islam hanya membenarkan peperangan dilakukan ke atas musuh baginda yang menyerang baginda, seperti yang disebutkan di dalam Surah Al-Baqarah ayat 190:

“Dan berperanglah pada jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batasan (iaitu dengan memulakan peperangan) kerana Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batasan”.

Peperangan ini dilakukan demi untuk menegakkan agama Allah yang suci. Iaitu, ketika musuh mencuba menentangnya dengan kekerasan untuk menggagalkan usaha Baginda Rasulullah, maka pada ketika itu Baginda haruslah bertindak mempertahankan agama dan dirinya dengan mengangkat senjata. Namun begitu Baginda tidak seharusnya menyerang mereka secara zalim dan melampaui batas.

Dalam keadaan ini,  pembunuhan yang berlaku sesama Islam, malah pertumpahan darah yang berlaku di bumi para Nabi dan Rasul sekarang ini adalah merupakan satu tindakan yang terang-terang bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenarnya, walau pun terdapat dakwaan yang mengatakan bahawa masing-masing pihak adalah berjihad kerana hendak menegakkan hukum Allah.

Oleh itu, belia dan angkatan muda Islam haruslah mempelajarai serta memahami dengan semasak-masaknya isu ini dari perspektif Islam. Tujuan supaya kita tidak terpengaruh degan pengajaran yang hanya akan memerangkap mereka dalam dosa atas gambaran syahid dan syurga, sedangkan perbuatan yang dilakukan adalah berlawanan dengan konsep syahid, jihad, dan janji syurga yang sebenarnya.

Saya merasakan bahawa kita di Malaysia masih menghormati nilai-nilai tamadan dan peradaban Islam, dan memahaminya dengan baik. Oleh itu, generasi baharu Islam haruslah memahami konsep dan falsafah perjuangan Islam yang dinamakan jihad untuk mati syahid dan menerima balasan syurga itu.

Penulis ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  4  =  3