Exco akui ketiadaan pelancong Singapura jejas Johor

 Exco akui ketiadaan pelancong Singapura jejas Johor

Dr Chong meninjau Pasar Tangkak baru-baru ini

Oleh Mohd Kamal Ahmad

KUALA LUMPUR, 10 Feb: Kesemua 23 pasar raya dan kompleks beli-belah di Johor Bahru terjejas teruk akibat terkesan dengan tiga perkara iaitu tiada pelancong Singapura, pekerja yang bekerja di Singapura hilang pekerjaan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP; serta pergerakan orang ramai tersekat kerana penguatkuasaan PKP.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, YB Dr Chong Fat Full berkata, ketiga-tiga faktor itu menyebabkan kegiatan ekonomi khususnya di daerah itu terjejas atau ditutup seperti perniagaan berkaitan pelancongan iaitu hotel, pasar raya, pemandu pelancong, bas pelancongan, stesen minyak dan restoran.

Dr Chong (dua dari kiri) meninjau bekalan barang keperluan di sebuah pasar raya di Johor Bahru

Beliau berkata, sektor pendidikan turut terjejas termasuk melibatkan kolej swasta serta kolej cawangan universiti antarabangsa selain perkhidmatan bas sekolah serta pusat tuisyen dan kelas pengajian agama.

Semalam, Wacana.my menyiarkan kesuraman Johor Bahru akibat tersekatnya kemasukan pelancong Singapura akibat pandemik COVID-19 dan penguatkuasaan PKP untuk menyekat penularannya bermula 18 Mac 2020 lalu. Dalam laporan sama, Timbalan Ketua BERSATU Johor Bahru, Encik Razrul Anwar Rusli  (gambar kiri) melahirkan kebimbangan mengenai faktor Singapura dan kebergantungan Johor kepada pekerjaan serta pelancong republik itu.

Rekod menunjukkan, seramai 7.9 juta warga Singapura masuk ke Johor sepanjang 2019. Purata tiap seorang daripada mereka dianggarkan berbelanja S$ 114 (RM342) sehari.

 Dr Chong memberitahu, berdasarkan maklumat daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pula, sebanyak 3,070 penamatan perniagaan direkodkan di Johor bagi tempoh Januari hingga Oktober 2020. Pada masa sama, 61,154 pendaftaran perniagaan baharu turut dicatatkan bagi tempoh sama.

Mengulas situasi perniagaan, perkhidmatan dan peruncitan di puat Bandaraya Johor Bahru sekarang, beliau berkata aktiviti itu masij dijalankan dengan mengikut SOP ditetapkan dan secara secara atas talian (online).

Ditanya mengenai langkah kerajaan untuk memulihkan keadaan ini, beliau berkata: “Belanjawan 2021 Kerajaan Negeri Johor sudah merangka 12 agenda kebajikan, keberdayaan dan keberhasilan utama iaitu Johor Tani, Johor Digital, Johor Niaga, Prasarana Johor, Modal Insan Johor, Governans Johor, Majestic Johor, Masyarakat Desa Johor, Orang Muda Johor, Johor Madani, Johor Prihatin, dan Johor Berkebajikan.

Dari segi peruntukan, RM790,000 disediakan untuk melaksanakan program pembangunan komoditi berpotensi dan RM1 juta bagi program pembangunan pertanian lestari untuk membantu pengusaha memiliki sijil-sijil pengiktirafan myGAP & myOrganic.

Kerajaan turut memperuntukan RM1.3 juta bagi program pembanugnan industri asas tani dan program perintis keusahawan pertanian Johor dan RM2 juta bagi pelaksanaan Agro Mix Farm di Segamat dalam tempoh 5 tahun melibatkan Kawasan 110 ekar.

Selain itu, kerajaan memberi pengecualian bayaran lesen sewa premis selama setahun iaitu lesen penjaja, lesen peniaga pengusahaan kecil dan sederhana, mikro, sewa premis dan gerai, sewa tapak pasar malam dan pasar pagi.

“Pengecualian juga meliputi pembayaran duti hiburan bagi taman-taman tema dan pusat hiburan keluarga sebanyak RM3 juta serta pengecualian pembayaran lesen perniagaan kepada 1,031 syarikat berkaitan pelancongan,” katanya.

Pendaftaran dan penamatan perniagaan di negeri Johor (Jan-Okt 2020)

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  +  68  =  71