Exco, ADUN Permas bantu 40 peniaga mangsa ribut

 Exco, ADUN Permas bantu 40 peniaga mangsa ribut

Izhar diiringi Che Zakaria (kiri) menghulurkan sumbangan kepada peniaga yang terjejas selepas gerai mereka dipukul ribut di tapak penjaja berhampiran Masjid Taman Rinting, Masai, Pasir Gudang, hari ini

Oleh Nurman Nasyriq

PASIR GUDANG, 29 Jun – Kira-kira 40 peniaga makanan di tapak penjaja berhampiran Masjid Taman Rinting, Masai di sini kini boleh menarik nafas lega selepas kerugian dialami mendapat bantuan kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Mohd. Izhar Ahmad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh hadir bertemu mereka hari ini dan menghulurkan sumbangan.

Mohd. Izhar menghulurkan sumbangan ‘one off’ RM500, manakala Che Zakaria memberikan bantuan khemah baharu kepada semua peniaga terjejas.

Menurut Che Zakaria, sumbangan itu diharap dapat meringankan beban mereka untuk memulakan semula perniagaan.

“Semasa bertemu peniaga, mereka menyuarakan supaya dikecualikan bayaran tapak sewa kerana jualan tidak berapa baik semasa COVID-19.

“Mereka juga meminta dapat berniaga pada waktu pagi Jumaat. Ini kita sedia timbang dan panjangkan kepada pihak berkenaan kerana sedar kesusahan yang mereka hadapi,” katanya.

Dalam kejadian ribut jam 4.30 petang Khamis lalu, hampir semua gerai rosak dipukul ribut namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa.

Sementara itu, seorang peniaga, Jurina Ramli, 41, amat bersyukur dengan sumbangan tersebut selepas pihak Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan Maxis turut memberikan sumbangan Jumaat lalu.

Katanya yang berniaga kek lapis sejak setahun lalu, semasa kejadian hujan lebat, petir dan angin kencang menyebabkan khemah dan gerai mereka termasuk duit hasil berniaga diterbangkan ribut.

“Kerugian dialami kira-kira RM600, habis semua diterbangkan angin kencang termasuk duit hasil berniaga daripada RM100 tinggal RM40 sahaja. Kejadian berlaku begitu pantas sampai tidak sempat selamatkan apa-apa.

“Kami hanya fikirkan untuk selamatkan diri masing-masing dalam keadaan angin berpusar yang laju dan kuat bunyinya sehingga sukar untuk mendengar. Mujur semua peniaga selamat,” katanya.

Dia berkata, akibat ribut banyak khemah koyak dan rosak, gerai patah dan tidak boleh digunakan lagi selain barang niaga musnah.

Peniaga air kelapa muda, Hidayatullah Sidek, 34, mendakwa mengalami kerugian RM500 dan semasa kejadian gerainya turut musnah dan rosak.

Dia yang sudah berniaga selama dua tahun di tapak tersebut bersyukur kerana tiada kejadian buruk menimpa peniaga dalam keadaan kelam kabut dan berlaku sekelip mata pada hari itu.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

73  +    =  82