Etnik Pala’u sanggup mati pertahankan perahu

 Etnik Pala’u sanggup mati pertahankan perahu

Oleh Mohd Azrone Sarabatin

SEMPORNA, 6 April – Tesillo Andres, 70, wanita etnik Pala’u atau Bajau Laut (Sea Gypsy) yang tinggal dalam perahu di perairan Laut Sulawesi, di sini mahu menghabiskan sisa hidupnya dalam perahu dan sudah berwasiat kepada anak-anaknya supaya menjadikan perahunya sebagai keranda dan dikebumikan di dasar laut apabila meninggal dunia kelak.

Tesillo Andres, 70, etnik Pala’u atau Bajau Laut (Sea Gypsy) yang tinggal dalam perahu di perairan Laut Sulawesi, Semporna

Wasiat beliau agak pelik. Ini kerana dalam sejarah etnik berkenaan hanya tembuni bayi ditanam di dasar laut sebagai adat resam dan kepercayaan ada penjaga roh laut melindungi mereka dan tidak mati ketika menyelam di laut, namun apabila meninggal dunia, mayatnya akan dikebumikan di darat.

Kanak-kanak etnik Pala’u diserapkan semangat tinggal dalam perahu
termasuk dibiarkan keseorangan

“Biarlah `boggo’ (perahu) ini dijadikan keranda saya sebagai bukti saya adalah etnik Pala’u sejati yang setia kepada sumpah nenek moyang yang melarang anak cucunya berpindah ke darat,” katanya kepada Wacana.my menerusi seorang juru bahasa berbangsa Bajau dari etnik Simunul di jeti Kampung Bangau-Bangau, di sini.

Tesillo turut mengakui tidak pernah makan nasi, daging ayam atau lembu sepanjang hayatnya. Beliau sebaliknya hanya memakan `putu’ iaitu makanan yang diperbuat daripada ubi kayu yang diparut dan diperah airnya menggantikan beras.

Putu akan dimakan bersama ikan, ketam atau udang rebus dan `latoh’ (rumpai laut).

Mengenai bekalan ubi kayu, ibu kepada empat anak yang baharu kematian suami dikenali Pablo Arvestio menukar bahan makanan itu dengan ikan dan udang yang dipancing atau dipukat menantunya, Pablio Astagan, 45.

Tesillo kini tinggal seorang diri dalam perahu. Semua anaknya sudah berkahwin termasuk Ajumadah Pablo, 38, yang juga isteri kepada Pablio yang biasanya mengikuti dari dekat perahu ibunya kerana bimbang dihanyutkan ombak dan ribut kerana beliau tidak lagi bertenaga untuk mendayung pada jarak jauh.

Melihat wakil Wacana.my yang memerhati seekor ayam jantan bertenggek dalam perahunya, Tesillo berkata, ayam itu diberi seorang penduduk Kampung Tampi-Tampi, di sini ketika masih kecil hasil pertukaran dengan kima.

Kima adalah spesies kerang gergasi  atau nama saintifiknya, Tridacna gigas.

“Kima ditukar dengan sepasang ayam, tapi seekor sudah mati. Saya tidak berhasrat menyembelih ayam ini, sebaliknya akan memeliharanya untuk menemani saya dalam perahu,” katanya yang mengakui tiada agama atau Pagan.

Mengenai namanya yang mirip nama orang Sepanyol, Tesillo berkata ia diberikan oleh askar Sepanyol yang terserempak dengan ibu dan bapanya di perairan Filipina ketika beliau masih kecil.

Ajumadah Pablo bersama anaknya merenung perahu yang menjadi rumah mereka

Sementara itu, Ajumadah berkata, setiap perahu ada `lapohan’ (tempat memasak biasanya diperbuat daripada tanah dan berbentuk segi empat) dan di situ mereka menjerang air untuk merebus `latoh’ dan ikan.

Katanya, mereka juga membuat `putu’ dalam perahu untuk dijadikan bahan makanan.

“Beza keluarga saya dengan etnik Pala’u lain, kami masih menggunakan kayu api untuk menjerang air yang biasanya kayu hanyut dalam air kami kutip dan keringkan. Kami juga masih menggunakan pendayung untuk bergerak ke sesuatu tempat.

“Majoriti etnik kami sudah menggunakan dapur gas dan perahu yang dilengkapi enjin bot. Kami tidak menyesal mempertahankan penggunan kayu api dan pendayung,” katanya.

Ditanya kenapa mereka berlabuh di jeti Kampung Bangau-Bangau, Ajumadah berkata, sebelum ini mereka lebih gemar singgah di Pulau Sibuan, namun akur dengan arahan kerajaan negeri supaya berlabuh di Jeti Kampung Bangau-Bangau sejak pandemik COVID-19 melanda dunia lebih setahun lalu.

Sementara itu, pakar sejarah berkaitan maritim dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Dr Ismail Ali dalam kajiannya bertajuk `Komuniti Tanpa Negara: Kajian Kes Komuniti Bajau Laut di Pulau Mabul, Semporna’, mendedahkan hampir semua etnik Pala’u di negara ini adalah masyarakat tanpa warga negara.

Katanya, status kerakyatan etnik Pala’u masih dikategorikan sebagai tiada negara walaupun dari segi sejarahnya telah menetap di Sabah sejak pemerintahan Kesultanan Sulu sekitar 1658.

Katanya, walaupun setiap negara dikehendaki memberi hak sama rata kepada setiap individu seperti termaktub dalam konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung rakyat tanpa negara, namun etnik berkenaan tidak mendapat keistimewaan itu.

Ini kerana, sehingga kini, Malaysia belum meratifikasi piagam itu dan berhak tidak menerima individu tanpa kerakyatan dalam wilayahnya dan mungkin etnik ini satu-satunya kaum tiada negara di dunia.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  3  =  4