ESL tak jadi, kelab EPL rugi besar

 ESL tak jadi, kelab EPL rugi besar

Susunan Iqhram Ahmad

ENAM kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) rugi £8 juta (RM45.5 juta) dan bakal berdepan denda selepas menarik diri daripada Liga Super Eropah (ESL) yang disertai mereka bersama 8 kelab gergasi Eropah lain sekali gus menyebabkan percubaan menganjurkan liga baharu tidak kesampaian.

Kejohanan kontroversi yang diumumkan 18 April lalu mengejutkan dunia bola sepak hingga menyebabkan campur tangan penyokong, ahli politik serta tokoh sukan berkenaan sebelum ia berkubur pada pagi Rabu.

Selain itu, liga berkenaan turut menerima kecaman daripada Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) hingga menyebabkan badan induk bola sepak itu mengharamkan sesiapa sahaja daripada menyertai pertandingan anjuran mereka jika terlibat dengan ESL.

Arsenal, Chelsea, Liverpool, Manchester United, Manchester City dan Tottenham menyertai Atletico Madrid, Barcelona, Real Madrid, AC Milan, Inter Milan dan Juventus dalam ESL pertengahan minggu itu.

Setiap kelab yang menyertai ESL telah membeli saham sebanyak £8 juta yang akan digunakan untuk pembangunan, perjanjian penyiaran, kontrak komersial dan yuran guaman.

Menurut laporan, kontrak yang ditandatangani 12 kelab itu harus diteruskan walaupun berhadapan cabaran sukar.

Disebabkan penarikan diri itu, semua kelab berkenaan termasuk enam gergasi EPL terlibat tidak akan mendapat kembali bayaran pendahuluan selain bakal didenda dengan jumlah tinggi.

Florentino Perez, pemilik Real Madrid

Selepas menerima kecaman di peringkat global, Chelsea terlebih dahulu menarik diri, diikuti Manchester City dan baki empat kelab lagi.

Buat masa ini, hanya Real Madrid dan Juventus kekal di liga berkenaan selepas Atletico Madrid dan Inter Milan secara rasminya menarik diri, dengan laporan Barcelona dan AC Milan bakal menyusul.

Bagaimanapun, Presiden Real Madrid, Florentino Perez berkata ESL masih lagi belum terkubur malah masih lagi dalam perancangan.

“Projek itu wujud dan masih lagi dalam perancangan, kelab yang menarik diri telah menyatakan mereka tidak mahu meneruskannya.

“Kami sudah mengusahakan perkara ini sejak tiga tahun lalu dan memikirkan ianya adalah jalan terbaik. Rancangan ini adalah sebahagian daripada perjuangan kami menentang situasi kewangan di bola sepak Sepanyol,” katanya dalam temu ramah bersama stesen radio Sepanyol, Cadena Ser.

 

Apa itu ESL?

ESL adalah hasil tidak kesefahaman antara UEFA dengan kelab-kelab bola sepak terkaya di Eropah.

Bermula apabila UEFA mengumumkan format baharu bagi kejohanan Liga Juara-Juara, iaitu penambahan kelab yang akan bersaing kepada 36 daripada 32, ianya tidak diterima kelab-kelab elit Eropah kerana beranggapan format berkenaan tidak menyelesaikan perkara-perkara asas, seperti kekurangan perlawanan kualiti tinggi dan keperluan sumber kewangan tambahan.

Menurut Florentino Perez, ESL mampu menjana keuntungan berganda berbanding Liga Juara-Juara dan akan memberi pembahagian wang yang adil sepanjang kejohanan.

Menurut perjanjian, setiap kelab yang menyertai ESL akan diberikan 350 juta Euro sebagai bonus penyertaan serta tambahan 3.5 bilion Euro bagi penambahbaikan infrastruktur.

Selain itu, ESL turut menerima dana sebanyak 4 bilion Euro daripada syarikat pelaburan terkenal, JP Morgan Chase serta dijanjikan penambahan 4 bilion Euro setahun melalui hak penyiaran.

Bola sepak untuk penyokong

Kisah ESL adalah kisah bola sepak yang tidak dapat dilupakan penyokong kerana keputusan kejuaraan ini dibuat oleh pemilik kelab, tanpa persetujuan pemain, pengurus serta penyokong.

Kerajaan Britain menyarankan setiap kelab menggunakan model pemilikan ala Jerman atau ‘50+1’ di mana majoriti saham dimiliki peminat.

Bagaimanapun, pendekatan itu kemungkin tidak akan terjadi dalam masa terdekat di mana sejak selama dua dekad, kalangan jutawan dari Amerika Syarikat telah banyak membeli kelab-kelab Inggeris.

Pemilik kelab gergasi Inggeris seperti Arsenal, Manchester United dan Liverpool kini didesak oleh peminat supaya meletak jawatan kerana gagal melunaskan amanah yang diberikan.

Selain daripada itu, pemain bola sepak Liga Inggeris turut menyertai protes yang dibuat peminat supaya kebajikan pemain dijaga.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  1  =  7