Enggan bayar zakat

 Enggan bayar zakat

Oleh Iqhram Ahmad

KUALA LUMPUR, 18 Feb — Ada segelintir ahli perniagaan dan usahawan online tidak tahu kewajipan membayar zakat walaupun masing-masing mempunyai pulangan keuntungan berganda.

Pengerusi Pusat Pengurusan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, walaupun ada usahawan yang hanya menjalankan perniagaan secara upah iaitu menjadi agen atau dropship dan sebagainya, tetapi sekiranya keuntungan melebihi nisab, mereka wajib menunaikan zakat perniagaan.

Datuk Seri Syed Ali Alhabshee

Beliau berkata, kalangan lain yang tidak membayar pula beranggapan zakat hanya ditunaikan pada Ramadan iaitu membayar zakat fitrah manakala segelintir lagi kurang pendedahan terhadap kewajipan Rukun Islam Keempat itu dan menyebabkan mereka memandang negatif terhadap institusi zakat di Malaysia.

“Perspektif yang buruk ini menyebabkan segelintir mereka tidak menunaikan zakat serta mempersoalkan agihan wang zakat yang dibuat oleh institusi zakat.  Ini menunjukkan pengetahuan mengenai zakat harta dalam kalangan masyarakat Islam masih rendah,” katanya kepada Wacana.my.

Dalam perkembangan berkaitan, Syed Ali berkata kesedaran menunaikan zakat kian makin meluas di kalangan masyarakat. Buktinya, penularan pandemik COVID-19 tidak menghalang peningkatan jumlah kutipan keseluruhan zakat berjumlah RM756 juta pada 2020 berbanding RM682.27 juta tahun sebelumnya.

Selain itu, PPZ-MAIWP menjangkakan penurunan kutipan zakat tahun ini berikutan pandemik COVID-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengakibatkan kerugian pada perniagaan selain ramai diberhentikan kerja.

Walaupun demikian, Syed berkata PPZ-MAIWP akan terus berusaha memastikan kutipan zakat cukup untuk menampung perbelanjaan asnaf yang makin meningkat.

Sementara itu, PPZ-MAIWP melaksanakan tujuh Program CSR Khaira PPZ di mana bantuan diberi kepada mereka yang terkesan dengan keadaan ekonomi ketika PKP termasuk keperluan asas dan pembiayaan tunai.

Program itu ialah Khaira Khas COVID-19 PPZ, Bangkit Khaira PPZ, Projek Usra Saeedah PPZ, Khaira Prihatin PPZ, Projek Lori Rezeki  Khaira PPZ, Projek Bakul Rezeki Khaira PPZ dan Musaadah Khaira Siswa PPZ.

Ditanya tindakan yang boleh diambil terhadap individu dan pertubuhan yang didapati bersalah mengutip atau membayar zakat tanpa tauliah MAIWP. Pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

5  +    =  12